SURUHANJAYA Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam penguatkuasaan dan memperkukuh usaha dalam mengurangkan dan mencegah penipuan.
Persetujuan itu dimeterai dalam satu memorandum (MoU) yang ditandatangani kedua-dua pihak dalam satu majlis di Kuala Lumpur hari ini.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, MoU tersebut mengetengahkan komitmen kedua-dua pihak untuk mempergiatkan kerjasama dalam menangani ancaman penipuan dalam talian yang semakin meningkat serta skim pelaburan palsu dan tidak berlesen yang menyalahgunakan platform digital dan teknologi komunikasi.
Kerjasama itu, katanya, termasuk usaha memanfaatkan teknologi baharu dan penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan untuk meningkatkan kecekapan pengesanan, penyiasatan dan penguatkuasaan.
“Kerjasama ini sejajar dengan perluasan bidang kuasa Pusat Respons Penipuan Kebangsaan, sekali gus menekankan komitmen bersama untuk melindungi orang ramai daripada penipuan pelaburan digital dan penipuan dalam talian,” kata hari ini.
Pada majlis itu lMohammad Faiz menandatangani bagi pihak SC manakala MCMC diwakili Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Majlis pemeteraian itu disaksikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.
Beliau berkata, pada tahun 2024 dan 2025 lalu, SC dengan bantuan MCMC telah menyekat atau menggantung 328 laman web, 388 akaun Telegram dan 60 nombor telefon.
Beliau turut menggariskan dedikasi SC untuk melindungi kepentingan pelabur dan mengekalkan integriti pasaran.
“MoU ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh usaha melindungi pelabur runcit dan orang awam daripada penipuan.
“Dengan menggabungkan kepakaran kami, SC dan MCMC boleh bertindak balas dengan lebih berkesan terhadap ancaman yang muncul, meningkatkan perlindungan dan meningkatkan kesedaran awam terhadap penipuan kewangan dan pelaburan tanpa lesen,” katanya.
Sementara itu, MCMC berkata, pihaknya menekankan kepentingan kerjasama operasi dalam memastikan persekitaran digital yang lebih selamat.
Katanya, MoU tersebut mencerminkan komitmen berterusannya untuk melindungi rakyat Malaysia dalam ruang digital.
“Memandangkan penipuan dalam talian terus berkembang dalam skala dan kecanggihan, penyelarasan antara agensi yang kukuh kekal penting.
“Kerjasama ini akan memperkukuh perkongsian risikan, mempercepatkan usaha penguatkuasaan dan memanfaatkan teknologi untuk mengesan dan menurunkan kandungan berkaitan penipuan dengan lebih cekap, mencerminkan tanggungjawab bersama untuk melindungi orang ramai dan menegakkan kepercayaan dalam ekosistem digital Malaysia,” katanya.
MCMC berkata, kerjasama itu merupakan kesinambungan daripada mesyuarat kerjasama pertama antara kedua-dua badan yang diadakan pada Mac tahun lalu.
“Susulan daripada ini, pelbagai penglibatan telah diadakan, membuka jalan untuk usaha mitigasi penipuan yang dipertingkatkan termasuk sekatan laman web dan kandungan berkaitan penipuan dengan lebih pantas dan penerokaan alatan teknologi baharu,” katanya.
Bidang kerjasama lain termasuk memperkukuh kerjasama dalam perkongsian risikan, membangunkan Prosedur Operasi Standard dan pembinaan kapasiti dalam siasatan dan protokol penguatkuasaan yang diselaraskan. — Edisi 9

