WAWASAN Open University (WOU) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga syarikat bagi meningkatkan pembangunan tenaga kerja sektor semikonduktor dan pembuatan di negara ini.
Tiga syarikat terbabit ialah TT Vision Technologies Sdn Bhd, Oppstar Technology Sdn Bhd dan Clarion (Malaysia) Sdn Bhd bagi melatih 200 profesional teknikal dan kejuruteraan dengan kemahiran kritikal yang diperlukan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Naib Canselor WOU, Prof. Dr. Lily Chan berkata, kerjasama antara industri dan akademia penting untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap profesional berkemahiran tinggi.
“Kerjasama ini menunjukkan bagaimana universiti dan industri boleh berganding bahu untuk menghadapi keperluan tenaga kerja yang terus berkembang,” ujarnya.
“Dengan mengintegrasikan perspektif industri dalam kurikulum, pihak universiti sedang mempersiapkan golongan profesional untuk berjaya menghadapi cabaran global yang semakin pesat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani MoU tersebut di Kampus WOU di Pulau Pinang hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif TT Vision Technologies, Goon Koon Yin menandatangani MoU bagi pihak syarikatnya manakala OppStar Technology diwakili oleh Pengarah Kejuruteraannya, Lee Chun Keat sementara Clarion Malaysia diwakili Pengarah Lembaga Kumpulan, Nicholas Tan.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Gabenor WOU, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Pengerusi WOU, Datuk Seri Stephen Yeap dan Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Datuk Loo Lee Lian.
Dr Lily berkata, kolaborasi itu juga selaras dengan inisiatif strategik Pulau Pinang untuk membangunkan tenaga kerja mahir dalam sektor teknologi tinggi seperti semikonduktor, automasi dan elektronik automotif, seiring dengan program pembangunan bakat di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).
Beliau berkata, di bawah MoU itu, WOU akan menyediakan TT Vision dengan pensijilan dalam Analitik Pembuatan yang Dikuasakan oleh IoT, meliputi aspek utama seperti IoT, analitik data, dan integrasi robotik.
Katanya, pensijilan itu merangkumi micro-credentials yang boleh digunakan sebagai laluan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik atau Pembuatan Pintar.
“Bersama Oppstar, WOU menawarkan Sijil Profesional dalam Reka Bentuk IC, yang memberi tumpuan kepada Reka Bentuk Litar CMOS, Litar Campuran, dan Reka Bentuk IC Digital.
“Peserta juga berpeluang mengumpul kredit pembelajaran yang membolehkan mereka melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Sains Kejuruteraan Reka Bentuk Sistem di WOU,”katanya.
Manakala kolaborasi dengan Clarion Malaysia pula membuka peluang kepada pekerjanya melanjutkan pengajian ke peringkat pascasiswazah bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran teknikal yang mendalam serta kepimpinan yang kompetitif. – Edisi 9

