PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kutipan cukai langsung bagi tahun 2024 mencapai RM184.805 bilion, melonjak RM1.465 bilion ketimbang tahun sebelumnya.
Perdana Menteri berkata, peningkatan tersebut mencerminkan penambahbaikan tatakelola serta disiplin tinggi warga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam melaksana serta memperteguh amanah kepada negara dan rakyat.
“Kerajaan MADANI kekal beriltizam untuk berdiri teguh bersama LHDN dalam memastikan keadilan fiskal terus ditegakkan.
“Ini bermaksud kita tidak akan sesekali cuai dan leka, terutamanya dalam memastikan tidak ada mana-mana pihak culas daripada menunaikan tanggungjawab cukai,” kata beliau hari ini.
Anwar berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Hasil Ke-29 di Cyberjaya hari ini.
Anwar berkata, sistem percukaian tidak boleh menjadi beban atau bersifat punitive memandangkan Malaysia mempunyai pelbagai pelepasan cukai yang jauh lebih banyak berbanding negara-negara tetangga.
“Walhasil, jumlah pembayar cukai pendapatan di negara ini juga masih kecil sekiranya dibandingkan dengan keseluruhan populasi serta bilangan syarikat yang beroperasi.
“Justeru, kita mampu meningkatkan kutipan hasil apabila wujud kesedaran bersama bahawa membayar cukai adalah suatu tanggungjawab bersama demi negara,” kata beliau.
Hasil inilah, jelas Perdana Menteri, yang digunakan untuk membangunkan prasarana dan kemudahan awam serta menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Selain itu, hasil percukaian itu juga menjamin peningkatan kepada bantuan sara hidup serta mempertingkat mutu penyampaian perkhidmatan awam.
“…dan ia mesti berpangkal pada pengurusan yang cekap dan berkesan agar setiap wang cukai itu benar-benar mengolah serta menterjemah harapan rakyat dan negara,” katanya. – Edisi 9

