SKUAD Harimau Malaya layak beraksi di pentas Piala Asia Futsal di Jakarta, Indonesia tahun depan biarpun tunduk kepada Iran 0-4 dalam aksi terakhir kelayakan Kumpulan G sebentar tadi.
Dalam pertemuan di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan malam ini, skuad kendalian Rakphol Sainetngam berjaya mengekang asakan pasukan gergasi futsal Asia itu daripada menerima kekalahan lebih besar.
Iran membuka jaringan menerusi Mehdi Mehdikhani pada minit keempat perlawanan sebelum Hossein Derakhshani menambah satu lagi gol pada minit ke-12 dan keputusan 0-2 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki separuh masa kedua, para pemain kebangsaan berusaha mencipta jaringan namun palang dan tiang menjadi halangan di samping kecekapan penjaga gol lawa .
Akhirnya Iran berjaya menambah dua lagi gol menerusi Hossein Tayyebi pada minit ke-33 dan Ali Khalilvand tiga minit kemudian dan kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat.
Dengan keputusan tersebut, Malaysia berada dalam senarai tujuh pasukan naib juara kumpulan terbaik yang layak bersama-sama lapan juara kumpulan dalam saingan kelayakan, serta tuan rumah, Indonesia.
Sebelum ini skuad Harimau Malaya berjaya menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 1-0 dan membelasah Bangladesh 7-1 untuk mengumpul enam mata daripada tiga perlawanan.
Majlis undian Piala Asia Futsal 2026 dijadual berlangsung pada 5 November depan bagi menentukan kedudukan 16 pasukan untuk dibahagikan empat pasukan ke dalam setiap Kumpulan A, B, C dan D. — Edisi 9

