Tuesday, July 21, 2026

CAAM kini badan kawal selia tunggal penerbangan negara

MOT turut mengumumkan pelantikan Datuk Mohamed Sharil Tarmizi sebagai Pengerusi CAAM yang baharu, berkuat kuasa serta-merta.

Mesti Baca

SEKTOR penerbangan negara hari ini melakar sejarah baharu apabila rasionalisasi penuh antara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berkuat kuasa secara rasmi.

Melalui pelaksanaan ini, semua fungsi MAVCOM termasuk aspek pengawalseliaan ekonomi, diserap sepenuhnya ke dalam CAAM, menjadikan agensi itu satu-satunya badan kawal selia penerbangan awam di negara ini yang merangkumi keseluruhan aspek teknikal, keselamatan dan ekonomi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foke berkata, langkah strategik itu dilihat sebagai pemacu kepada sistem kawal selia yang lebih efisien, responsif serta berlandaskan tadbir urus terbaik, sejajar dengan piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Beliau berkata, seiring dengan pelaksanaan rasionalisasi itu, MOT turut mengumumkan pelantikan Datuk Mohamed Sharil Tarmizi sebagai Pengerusi CAAM yang baharu, berkuat kuasa serta-merta.

Mohamed Sharil, yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengerusi CAAM sejak 2023, memiliki pengalaman lebih tiga dekad dalam sektor perundangan dan korporat, serta pernah menerajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif.

Pelantikan beliau diyakini mampu memperkukuh CAAM dalam fasa transformasi baharu, terutama selepas entiti tersebut beralih kepada status Badan Berkanun Diasingkan Saraan dan Bebas (BBDSB), yang memberikan lebih autonomi dalam aspek perancangan kewangan dan pengurusan sumber manusia.

“Struktur gaji baharu yang lebih kompetitif akan diperkenalkan bagi menarik dan mengekalkan Pegawai Teknikal Berkelayakan (QTP), selaras dengan keputusan Jemaah Menteri,” kata Anthony dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, sebanyak 93 peratus kakitangan MAVCOM telah menerima tawaran penempatan semula ke CAAM setakat 31 Julai, sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi terhadap hala tuju baharu agensi itu.

Untuk menyokong mandat yang diperluas, struktur Anggota Pihak Berkuasa CAAM turut diperkukuh dengan pelantikan tambahan termasuk wakil Kementerian Ekonomi serta dua individu berpengalaman dalam bidang ekonomi, dasar persaingan dan hak pengguna.

MOT percaya bahawa penyatuan fungsi kawal selia ini bakal melonjakkan CAAM ke tahap antarabangsa, selain menyelaraskan struktur institusi penerbangan negara serta meningkatkan daya saing industri. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan