SERAMAI 20 pelajar Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gambang, Pahang telah menyertai program khatan beramai-ramai, baru-baru ini.
Penyertaan mereka sebagai sukarelawan itu bagi mendedahkan mereka dengan program kemasyarakatan di samping mempelajari asas berkhatan.
Program tersebut dianjurkan secara bersama antara Pusat Asasi UIAM dengan Surau As-Sobirin, Taman Gambang Damai dan Klinik Az-Zahra, Gambang, Pahang.
Penyelaras program, Muhamad ‘Adli Ahmad Rosdi berkata, program tersebut bagi memberi pendedahan kepada pelajar tentang pengurusan program bersama agensi luar.
“Program ini juga diharap dapat memberi pengalaman terutama kepada pelajar asasi perubatan tentang prosedur asas pembedahan selain mempelbagai fungsi surau agar tidak hanya berfokus kepada aktiviti ibadah harian semata-mata,” katanya.

Sementara itu Pengurus program, Muhammad Aiman Sufian berkata, seramai 15 kanak-kanak dari sekitar Taman Gambang Damai telah dikhatankan pada majlis tersebut.
“Ini merupakan satu pengalaman yang baik buat para pelajar dalam menguruskan program khidmat masyarakat sebegini,” katanya.
Muhammad Aiman berharap program tersebut dapar diadakan setiap tahun bagi membantu kanak-kanak khususnya di kawasan Gambang.
“Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada warga tempatan, malah kepada pelajar juga untuk mendapatkan pengalaman yang unik ini,” katanya. – ADAM LUKMAN (CFS IIUM)

