SERAMAI 42 sukarelawan Universiti Malaya (UM) baru-baru ini mengadakan program kemasyarakatan di perkampungan Orang Asli suku Semai di Kampung Satak, Raub, Pahang.
Mereka terdiri daripada sukarelawan pelbagai bidang kepakaran kesihatan, bertujuan menjalankan aktiviti promosi dan saringan kesihatan kepada masyarakat Semai di kawasan berkenaan.
Ketua sukarelawan, Dr. Ng Aik Hao berkata, sepanjang tiga hari program berlangsung, pihaknya telah mengadakan saringan perubatan asas, konsultasi perubatan dan rawatan asas.
Selain itu, program pemberian ubat cacing, pemeriksaan gigi dan rawatan asas pergigian, saringan kanser payu dara dan pangkal rahim, pemberian vaksin HPV, serta ceramah kesihatan mengenai pemakanan sihat dan pencegahan kanser turut diadakan.
“Walaupun mungkin para sukarelawan sudah berpengalaman melakukan aktiviti bersama penduduk luar bandar, namun ini kali pertama mereka berpeluang berinteraksi dengan masyarakat Orang Asli,” katanya.
Dr. Ng berkata, pengalaman yang ditimba sepanjang di Raub itu diharap menjadikan para sukarelawan sebagai petugas kesihatan yang lebih empati dan prihatin satu hari nanti.
Program yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Satak, Raub itu merupakan hasil kerjasama Fakulti Perubatan dan Fakulti Pergigian UM, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Perlis Plantation Berhad (PPB) Group dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).
Sementara itu, pensyarah Fakulti Pergigian UM, Prof Dr Norliza Ibrahim gembira apabila program pemeriksaan gigi dapat sambutan yang baik dalam kalangan penduduk.
“Selalunya sambutan agak dingin kerana sering dimomokkan bahawa pemeriksaan gigi menyakitkan, namun dengan pendedahan yang betul, mereka beratur beramai-ramai untuk memeriksa gigi,” katanya. – Edisi 9