27 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 17, 2024

Aksi kelayakan Piala Dunia Palestin-Jordan di Kuala Lumpur

Mesti Baca

PARA peminat bola sepak tempatan berpeluang menyaksikan aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 antara Palestin dan Jordan apabila perlawanan itu bakal dilangsungkan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 10 September ini.

Kedua-dua pasukan yang diundi dalam Kumpulan B bagi pusingan ketiga zon Asia bersama-sama Korea Selatan, Iraq, Oman dan Kuwait.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, Malaysia dipilih sebagai venue perlawanan selepas pihak Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) mengadakan perbincangan dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin baru-baru ini.

“PFA sebelum itu mencari venue yang sesuai untuk dijadikan gelanggang neutral atau gelanggang sendiri mereka bagi aksi kedua Kumpulan B, Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 susulan konflik peperangan yang berlaku di Gaza sejak Oktober tahun lalu.

“Selepas perbincangan, kata sepakat telah dicapai antara FAM dan PFA yang mana Hamidin yang juga Ahli Majlis FIFA bersetuju untuk menawarkan venue neutral di Malaysia dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dipilih,” kata FAM dalam kenyataan hari ini.

Advertisements

FAM menyifatkan keputusan itu merupakan satu penghormatan yang cukup besar buat Malaysia kerana menjadi satu-satunya negara yang diberikan kepercayaan oleh Palestin untuk menjadi gelanggang neutral buat pasukan kebangsaan mereka.

Pada masa sama, FAM akan memberikan sokongan dan bantuan sepenuhnya kepada PFA sepanjang pasukan kebangsaan Palestin berada di negara ini.

Untuk rekod, Malaysia sebelum ini pernah menjadi venue neutral bagi aksi pertama playoff Kelayakan Piala Dunia 2018 antara Syria dan Australia di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 5 Oktober 2017.

Terdahulu, Palestin melakar sejarah apabila berjaya menempah slot ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia buat kali pertama selepas meraih keputusan seri tanpa jaringan menentang Lubnan di Doha, Qatar pada 7 Jun lalu.

Kejayaan mara ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 itu juga sekali gus menyaksikan Palestin yang dibimbing Makram Daboud layak secara automatik ke pentas Piala Asia 2027 di Arab Saudi. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Agong titah siasatan segera, menyeluruh isu rumah amal GISBH

YANG di-Pertuan Agong,  Sultan Ibrahim menitahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta...

Lagi Artikel Berkaitan