ENAM syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) telah komited untuk melabur dana sebanyak RM120 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang sebagai pelaburan langsung domestik (DDI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan di bawah program GEAR-uP diterajui Kementerian Kewangan (MOF) itu tidak termasuk pelaburan-pelaburan syarikat berkenaan dalam pasaran awam yang bernilai RM440 bilion.
Beliau berkata, GLIC terbabit ialah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, program tersebut merupakan langkah strategik untuk memperkukuh reformasi struktural Malaysia seperti yang digariskan dalam kerangka Ekonomi Madani.
Katanya, GEAR-uP tersebut bertujuan menyelaraskan usaha merentasi badab-badan berkaitan kerajaan bagi memangkin pertumbuhan di sektor-sektor utama ekonomi.
“Bagi mencapai sasaran-sasaran kerangka Ekonomi Madani terdapat keperluan untuk menggerakkan semua pihak di seluruh negara, dan ini termasuklah pihak korporat.
“Melalui penglibatan menyeluruh ini, GLIC akan meningkatkan tumpuan
mereka kepada pelaburan tempatan dan modal yang dilabur ini boleh memanfaatkan semua rakyat serta melahirkan ekosistem-ekosistem ekonomi baharu,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Anwar menghadiri taklimat berkenaan program GEAR-uP di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. Hadir sama Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, pelaburan-pelaburan tersebut disasarkan kepada industri-industri yang memiliki pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi seperti sektor peralihan tenaga dan pembuatan canggih terutamanya dalam bidang semikonduktor.
“Ia juga akan merangkumi pelaburan di seluruh kitaran perniagaan seperti syarikat pemula, modal teroka serta syarikat peringkat pertengahan dan akhirnya untuk menyokong penyenaraian saham syarikat-syarikat tersebut,” katanya.
GLIC tersebut, jelas beliau, akan menggunakan kepakaran masing-masing untuk mencapai matlamat bersama, iaitu “Menaikkan Siling” kedudukan ekonomi negara dan “Menaikkan Lantai” kualiti hidup rakyat.
Katanya, setiap GLIC akan mempunyai bidang tumpuan masing-masing untuk menerajui program GEAR-uP dengan Khazanah akan mengorak strategi pelaburan berpaksikan ‘Negara yang Mencipta’ bagi meningkatkan produktiviti serta daya saing negara.
Bidang tumpuan utama mereka termasuk transformasi firma untuk memperkasakan nilai, peralihan tenaga, pendigitalan, pembinaan kapasiti dan
peningkatan kemahiran serta menerajui usaha untuk meningkatkan
ketersambungan Malaysia melalui portfolio penerbangannya.
“Khazanah akan memastikan daya tahan ekosistem sektor semikonduktor, memupuk pertumbuhan syarikat-syarikat peringkat pertengahan dan melabur di ekosistem-ekosistem modal teroka, antara perancangan yang direncanakan
bagi menyokong GEAR-uP.
“Pengambilalihan MAVCAP dan Penjana Kapital baru-baru ini antara langkah untuk membentuk National Fund of Funds yang bakal memperluaskan akses modal bagi syarikat pemula, memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi,” katanya.
KWAP pula, jelas beliau, akan memperkasakan pasaran swasta Malayia merentasi ekuiti swasta, prasarana dan hartanah, dengan tumpuan kepada pemberian dana pemangkin untuk modal teroka serta firma-firma peringkat pertumbuhan melalui Dana Perintis dan Dana Pemacu.
KWAP juga telah mengenal pasti lapan sektor, antaranya keterjaminan makanan, ekonomi digital, peralihan tenaga dan sektor pembuatan canggih.
Bagi PNB pula, mereka akan memodenkan industri-industri dan sektor korporat Malaysia dengan menggalakkan tumpuan kepada aktiviti-aktiviti bernilai tambah tinggi serta mampan.
Ini termasuk memberi tumpuan khusus kepada pelaburan dalam taman-taman
perindustrian baharu, menyokong usaha automasi dan pertanian pintar dalam
kelapa sawit serta aset-aset tenaga hijau dan peralihan tenaga.
“PNB kekal komited untuk memperkasakan serta menjulang komuniti Bumiputera, termasuk mengendali pelbagai program bagi memupuk usahawan-usahawan dan pemimpin-pemimpin korporat Bumiputera dan memperhebatkan keselamatan kewangan serta kecelikan kewangan di kalangan anak muda,” katanya.
Dalam pada itu, KWSP akan menumpukan kepada pemesatan masyarakat menua yang bermaruah serta makmur, dengan melibatkan pelaburan dalam penyelesaian kesihatan mampan yang berdaya maju daripada segi komersial.
Ini akan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan kerajaan, termasuklah membina sayap swasta di hospital awam sejajar dengan agenda Transformasi Kesihatan yang didukung oleh Kementerian Kesihatan.
Mengenai Tabung Haji, Anwar berkata, GLIC itu akan meluaskan peranan bank Islam termasuklah melalui memperkasakan impak sosial lestari melalui instrumen kewangan Islam bagi pengagihan bantuan secara lebih teratur kepada golongan miskin.
Selain itu, Tabung Haji juga akan menguatkan sistem kewangan Islam melalui kerjasama strategik dengan lain-lain institusi serta pemain industri kewangan Islam utama.
Manakala LTAT akan meningkatkan daya cipta nilai industri farmaseutikal Malaysia dengan memperluaskan kapasitinya dalam penghasilan produk biofarmaseutikal tempatan.
“LTAT juga kekal komited untuk menjamin kesejahteraan sosial Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan menyokong peralihan ekosistem veteran
kepada transisi karier kedua,” katanya.
Anwar berkata, di samping pelaburan modal, GLIC dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan menerajui usaha memberi impak bagi meningkatkan kehidupan pekerja-pekerja di organisasi serta ekosistem masing-masing, termasuklah di dalam syarikat-syarikat pelaburan mereka.
Katanya, ini merangkumi, antara lain, komitmen untuk memastikan pekerja-pekerja menerima gaji wajar sebanyak RM3,100, serta menyelaraskan
penanda aras gaji pada masa hadapan dengan laporan tahunan Belanjawanku oleh KWSP.
GLIC ini juga, jelas beliau, bertekad untuk mengekalkan usaha sedia ada dalam memastikan peluang saksama melalui perwakilan gender di tempat kerja, program-program latihan peningkatan kemahiran dan kemahiran semula secara bersasar dan peningkatan kemahiran terutamanya bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Di samping itu, mereka juga akan memberi sokongan komuniti secara holistik melalui inisiatif-inisiatif kebertanggungjawaban korporat yang lebih bersepadu serta secara lebih teratur.
Ini termasuk kerjasama dengan kerajaan dalam program Kampung Angkat Madani untuk menjayakan intervensi sosioekonomi bagi melengkapkan sokongan Kerajaan dalam pembekalan prasarana asas.
“Selain itu, Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) akan diperkasakan sebagai dana khazanah antara generasi Malaysia dengan sumber-sumber sumbangan baharu, garis panduan penggunaan yang disemak semula, serta mandat pelaburan yang diperkuatkan untuk memastikan kemampanan dan pemeliharaan kekayaan bagi generasi-generasi rakyat mendatang.
“Saiz dana semasa KWAN yang ditadbir urus oleh Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, adalah berjumlah kira-kira RM20 bilion,” katanya. – Edisi 9