PUSAT Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway menjadi hospital pertama di negara ini yang menerima tiga akreditasi utama dengan terbaharu akreditasi Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI).
Sebelum ini, SMC telah menerima akreditasi daripada Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Australia (ACHS) dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH), sekali gus mengukuhkan kecemerlangan hospital itu dalam penjagaan kesihatan.
Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, Datuk Lau Beng Long berkata, kejayaan SMC mendapat akreditasi JCI selain ACHS yang diterima sejak 2014, membuktikan pihaknya meletakkan standard tertinggi dalam keselamatan pesakit.
Di samping, beliau berkata, pihaknya juga berusaha memenuhi keperluan kesihatan dalam komuniti dengan menyediakan penjagaan dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi.
“Kami menerima kunjungan hampir 1 juta pesakit dari dalam dan luar negara setiap tahun, dan kami ingin menyediakan perkhidmatan yang baik dan selesa kepada pesakit kami serta keluarga mereka sepanjang keberadaan di sini.
“Pengiktirafan daripada JCI ini amat penting bagi kami seiring dengan ulang tahun ke-25 SMC pada tahun ini,” katanya sempena majlis penganugerahan akreditasi JCI oleh Naib Presiden Suruhanjaya Bersama, Andrew Rosen di Bandar Sunway baru-baru ini.
Hadir sama Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Sir Dr. Jeffrey Chea dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.
Beng Long berkata, SMC sebagai sebuah hospital swasta kuaternari terbesar di Malaysia, telah menjalani penilaian prestasi sistematik JCI bagi menzahirkan komitmennya dalam memastikan keselamatan pesakit dan kualiti penjagaan kesihatan.
Katanya, proses penilaian yang komprehensif melibatkan semakan menyeluruh terhadap dasar, prosedur dan amalan SMC dalam memastikan pematuhan kepada piawaian ketat JCI.
“Ini termasuk penilaian penjagaan pesakit, pengurusan ubat, kawalan jangkitan, hak pesakit dan keluarga, kelayakan dan pendidikan kakitangan, serta pengurusan dan keselamatan kemudahan,” katanya.
Rosen berkata, kejayaan meraih akreditasi itu meletakkan SMC sebaris dengan organisasi penjagaan kesihatan elit lain di seluruh dunia yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang penjagaan pesakit, rawatan dan keselamatan.
Katanya, JCI merupakan divisyen daripada Suruhanjaya Bersama yang diasaskan pada tahun 1997 melalui gabungan tidak berasaskan keuntungan, Joint Commission Resources (JCR).
Ia khusus untuk memupuk kecemerlangan dalam penjagaan kesihatan, serta menyokong kualiti tertinggi dan penjagaan pesakit di peringkat antarabangsa.
“Akreditasi JCI ialah simbol kualiti yang diiktiraf di peringkat global yang mencerminkan komitmen organisasi untuk memenuhi standard prestasi yang ketat,” katanya. – Edisi 9