26.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

IPT tempatan digalak peroleh akreditasi global – MQA

Mesti Baca

INSTITUSI pendidikan tinggi (IPT) di negara ini digalak mendapatkan akreditasi daripada badan jaminan kualiti antarabangsa selain daripada pengiktirafan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, inisiatif itu mampu melonjakkan lagi reputasi IPT di Malaysia ke peringkat global.

Menurutnya, pendidikan tinggi di negara ini juga akan turut dikenali apabila lebih banyak IPT tempatan mendapat pengiktirafan badan akreditasi antarabangsa.

“Kita baru berbincang dengan ABEST21 International, Jepun dan Japan University Accreditation Association (JUAA) dan mereka turut melaksanakan akreditasi untuk IPT luar negara, misalnya JUAA membuat penilaian untuk IPT Thailand dan Taiwan yang mahukan pengiktirafan badan akreditasi itu.

“Perkara serupa wajar direbut IPT di Malaysia supaya mampu meraih pengiktirafan dari luar negara seperti JUAA, ABEST21 International (untuk program pengurusan perniagaan) dan badan jaminan kualiti lain,” katanya.

Advertisements

Beliau berkata demikian dalam kenyataan di Kuala Lumpur selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan JUAA dan ABEST21 International di Tokyo, Jepun hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari; Pengarah Eksekutif JUAA, Jun Kudo dan Timbalan Pengarah Urusan JUAA, Mamoru Tashiro.

Mohammad Shatar berkata, selaku badan tunggal jaminan kualiti pendidikan tinggi negara, MQA akan sentiasa meneroka peluang kerjasama bersama agensi akreditasi global dengan memberi tumpuan kepada pengiktirafan bersama di peringkat antarabangsa.

“MQA akan meneruskan kerjasama badan akreditasi global berkenaan inisiatif ini supaya IPT Malaysia mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan universiti terkemuka dunia lain apabila meraih akreditasi tempatan dan antarabangsa.

“Ini secara langsung membantu merealisasikan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan atau pusat ilmu sejagat dengan menarik minat pelajar antarabangsa menyambung pengajian mereka di IPT tempatan,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan