USAHA memperkukuh kepercayaan global terhadap sistem pengiktirafan kelayakan akademik menjadi fokus utama pemimpin badan akreditasi dari lebih 20 negara yang berhimpun dalam Presidents’ Forum 2025 anjuran Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), hari ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, dunia pendidikan tinggi kini berdepan cabaran besar apabila sistem pengiktirafan kelayakan akademik masih berbeza antara negara, sekaligus menjejaskan mobiliti pelajar, graduan serta pengiktirafan ijazah di peringkat antarabangsa.
Katanya, forum itu membuka ruang penting untuk negara-negara bekerjasama dalam mencari titik persamaan serta membina sistem global yang diyakini bersama.
“Kita berdepan realiti baharu dalam pendidikan tinggi, termasuk transformasi pesat yang didorong oleh globalisasi, digitalisasi dan teknologi kecerdasan buatan.
“Antara cabaran utama ialah pengiktirafan kelayakan akademik yang masih tidak seragam antara negara. Inisiatif seperti Putrajaya Motion amat penting untuk membina asas kepada sistem global yang lebih inklusif dan saling diiktiraf,” katanya ketika berucap pada MQA Presidents’ Forum 2025 di Putrajaya, malam tadi.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Majlis MQA, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran.
Zambry berkata, Malaysia komited untuk terus menjadi peneraju dalam membangunkan sistem jaminan kualiti yang berpaksikan kepercayaan, keterangkuman dan kolaborasi global.
“Kita tidak boleh bergerak secara bersendirian. Untuk mewujudkan ekosistem pendidikan yang diyakini di seluruh dunia, kita perlu memperkukuh kolaborasi, mewujudkan keterangkuman dan berpandangan jauh dalam setiap dasar serta pelaksanaan,” katanya.
Beliau turut menyentuh beberapa isu utama yang dibincangkan dalam forum, termasuk pengiktirafan digital, keselamatan data, umur pelajar antarabangsa serta usaha membanteras sijil akademik palsu yang kini menjadi ancaman global.
Katanya, sistem keselamatan digital berasaskan blockchain yang sedang dibangunkan oleh Education Malaysia Global Services (EMGS) adalah antara langkah penting dalam menjamin kesahihan dan ketelusan dokumen akademik pada masa depan.
“Dalam konteks ASEAN, kita sudah melangkah jauh ke hadapan. Namun masih terdapat cabaran apabila kelayakan negara tertentu tidak diiktiraf di luar rantau ini. Maka, usaha mewujudkan pangkalan data global atau Global Register seperti dicadangkan dalam Putrajaya Motion perlu direalisasikan,” jelasnya.
Sementara itu, Mohammad Shatar berkata, forum berkenaan merupakan kesinambungan kepada kejayaan Presidential Forum 2024 di Kuching, Sarawak yang mendapat sambutan menggalakkan daripada ketua badan akreditasi antarabangsa.
Katanya, edisi tahun ini menampilkan perbincangan lebih strategik dengan empat tema utama iaitu Mobility Beyond Borders, Recognition in a Digital Era, Quality Assurance Through Collaboration dan Building a Trust Ecosystem.
“Forum ini menjadi wadah penting untuk memperkukuh hubungan antara badan akreditasi, berkongsi pengalaman serta merangka pendekatan bersama bagi masa depan pendidikan tinggi global.
“Melalui dialog ini, Malaysia berharap untuk terus menjadi rujukan utama dalam bidang jaminan kualiti pendidikan tinggi serta peneraju kepada sistem akreditasi rentas sempadan yang diyakini,” katanya.
Dalam majlis itu, MQA turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan dua agensi jaminan kualiti antarabangsa iaitu National Agency for Academic Assessment and Accreditation (ANAAA, I.P.) dari Timor-Leste dan Foundation for International Business Administration Accreditation (FIBAA) dari Jerman.
Mohammad Shatar mewakili MQA manakala ANAAA, I.P. diwakili oleh Dr. Xisto Martins, President Board, dan FIBAA diwakili oleh Dr. Nina Rotermund, Division Manager for International Accreditation Procedures.
“Kerjasama ini membolehkan perkongsian kepakaran, pemantapan sistem akreditasi rentas sempadan serta memperkukuh reputasi Malaysia sebagai peneraju jaminan kualiti di rantau ini,” tambahnya.

