Monday, July 20, 2026

MCMC peroleh ‘Injunksi Erinford’ halang Telegram siar Edisi Siasat

Keputusan itu merupakan langkah penting dalam usaha berterusan MCMC memastikan ekosistem digital negara kekal selamat, bertanggungjawab serta selaras dengan kepentingan awam.

Mesti Baca

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan permohonan Injunksi Erinford yang difailkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung tindakan sivil terhadap platform Telegram, sementara menunggu pendengaran rayuan interlokutori MCMC di Mahkamah Rayuan.

Keputusan itu merupakan langkah penting dalam usaha berterusan MCMC memastikan ekosistem digital negara kekal selamat, bertanggungjawab serta selaras dengan kepentingan awam.

MCMC berkata, melalui keputusan tersebut, mahkamah membenarkan Injunksi Erinford bagi melarang penyiaran kandungan yang memudaratkan seperti yang dinyatakan dalam Pernyataan Tuntutan MCMC, termasuk apa-apa kandungan lain yang mempunyai ciri atau kesan serupa.

“Mahkamah turut memerintahkan penutupan sepenuhnya saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas serta mana-mana saluran lain yang mempunyai persamaan dari segi kandungan atau modus operandi.

“Perintah Injunksi Erinford ini bertujuan mengelakkan penyebaran kandungan palsu, mengelirukan, menghasut serta bahan yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi awam negara melalui saluran-saluran di platform tersebut,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.

Dalam keputusannya, mahkamah menegaskan bahawa kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi. 

Keseimbangan keadilan jelas berpihak kepada MCMC memandangkan kemudaratan kepada pihak Telegram adalah minimum berbanding potensi kesan negatif terhadap institusi negara dan ketenteraman awam sekiranya kandungan sedemikian terus disiarkan.

Mahkamah turut mengingatkan bahawa penyedia platform luar negara seperti Telegram, walaupun mungkin tidak memahami sepenuhnya struktur sosial dan budaya unik Malaysia, hendaklah sentiasa peka serta menghormati konteks perlembagaan dan sosial negara ini. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan