Wednesday, July 22, 2026

MCMC fail tindakan sivil terhadap ‘Edisi Siasat’, ‘Edisi Khas’

Dua saluran Telegram itu dikenal pasti terlibat dalam penularan kandungan yang bukan sahaja menjejaskan ketenteraman awam malah turut menghakis kepercayaan terhadap institusi negara.

Mesti Baca

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertindak tegas dengan memfailkan tindakan sivil terhadap saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas kerana didapati menyebarkan kandungan memudaratkan dan melanggar undang-undang negara.

Kedua-dua saluran menerusi platform Telegram itu dikenal pasti terlibat dalam penularan kandungan yang bukan sahaja menjejaskan ketenteraman awam malah turut menghakis kepercayaan terhadap institusi negara.

Menurut MCMC, kandungan yang disebarkan didapati melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sekali gus memerlukan tindakan tegas bagi memastikan ruang digital negara kekal terkawal dan selamat.

“Tindakan ini merupakan yang pertama seumpamanya melibatkan penyedia platform media sosial, khususnya Telegram yang merupakan pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) [ASP(C)],” kata MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah kenyataan itu, kegagalan Telegram bertindak walaupun telah diberi pelbagai laporan dan usaha rundingan sebelum ini memaksa pihak berkuasa bertindak melalui saluran perundangan.

Susulan itu, MCMC berjaya memperoleh perintah injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi sebagai langkah terakhir untuk menghentikan penyebaran kandungan yang memudaratkan serta menghalang penerbitan semula bahan serupa.

“Langkah ini penting untuk memastikan kedaulatan undang-undang ditegakkan dan kepentingan awam terus dilindungi,” katanya lagi.

Pihak Telegram, jelas MCMC, tetap akan diberikan ruang sewajarnya untuk mengemukakan pembelaan berdasarkan prinsip keadilan dan hak asasi.

Sebagai badan kawal selia, MCMC turut mengingatkan semua penyedia platform media sosial bahawa mereka bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan di ruang digital masing-masing.

“MCMC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sama terhadap platform lain sekiranya keselamatan dan kesejahteraan pengguna terancam,” katanya.

MCMC dalam masa sama menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan ruang digital negara kekal selamat, beretika dan selari dengan lunas undang-undang.

Untuk makluman, saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan portal berita ini dan saluran Telegram kami yang merupakan agensi media yang berdaftar di bawah Kementerian Penerangan. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan