
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Laksanakan segala perintah Allah dan jauhilah segala larangan-Nya.
Sebagai tanda bukti kita ingin meraih takwa kepada Allah, tumpukan perhatian untuk mendengar khutbah Jumaat pada hari ini.
Tinggalkanlah perkara lagha dan sia-sia yang boleh menjejaskan pahala Jumaat seperti berbual-bual, tidur dengan sengaja dan bermain telefon bimbit semasa khatib membaca khutbah.
Di kesempatan ini marilah kita bersama-sama menghayati khutbah bertajuk “Membezakan Nilai, Memilih Kebenaran”.
Tetamu Rumah Allah yang dikasihi,
Penjagaan akidah dan maruah umatnya merupakan satu perkara yang amat penting di dalam Islam.
Allah SWT mengingatkan kita dalam Surah al-Maidah ayat 100 yang dibaca di permulaan khutbah sebentar tadi yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Maka bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya berjaya.”
Ayat ini secara tegas membezakan antara kebenaran dan kebatilan, halal dan haram. Para ulama tafsir ketika mentafsirkan ayat ini menegaskan kebatilan akan kekal batil walaupun menjadi trend ramai umat manusia.
Hal ini disebabkan kebenaran diukur dengan dalil syarak bukan dengan mengikut budaya viral.
Mereka yang boleh memahami arahan ini disebut sebagai Ulul Albab (orang-orang yang berakal) yang mampu membezakan nilai baik dan buruk.
Justeru, demi menjaga akidah dan maruah agama, Islam telah menegah perbuatan tasyabbuh iaitu meniru atau menyerupai amalan dan budaya agama lain yang bercanggah dengan nilai Islam.
Sebagai contoh, perayaan Halloween yang berasal daripada kepercayaan pagan dan Kristian. Pada hari tersebut, mereka memakaikan pakaian berupa hantu dan syaitan serta mengukir buah labu.
Apa yang menyedihkan ialah ramai di kalangan mereka yang beragama Islam sudah mula turut serta meraikan perayaan ini.
Sedangkan dalam hal ini telah difatwakan secara jelas oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui Irsyad Fatwa Siri 91 (2015) bahawa menyambut Halloween adalah haram kerana ia mengandungi unsur tasyabbuh, simbol-simbol ghaib, hantu dan kostum menyeramkan, serta perbuatan yang bercanggah dengan akhlak Islam.
Malah, ia dikira syiar agama lain yang tidak boleh diikuti oleh umat Islam.
Hal ini jelas sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Abu Daud daripada Ibn Umar radiyallahuanhu bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.”
Barangkali perbuatan meniru-niru hari kebesaran bukan Islam terlihat kecil bagi sebahagian kita.
Namun, tanpa kita sedari perbuatan ini mengikis sedikit demi sedikit identiti kita sebagai muslim.
Akhirnya, tidaklah kita berbangga dengan syiar Islam dan generasi terkehadapan akan mengutamakan identiti dan budaya asing melebihi agama sendiri.
Kita diperintahkan untuk menjaga identiti kita sebagai Muslim, memilih hiburan yang halal dan menjauhi sebarang unsur yang bercanggah dengan akidah serta syariat.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Apakah solusi untuk menangani sikap tasyabbuh atau menyerupai golongan bukan Islam ini dalam segelintir masyarakat kita?
Langkah paling utama, perkasakanlah pendidikan akidah sejak awal agar anak-anak tidak mudah terpengaruh dengan fesyen, hiburan, dan trend luar yang bercanggah dengan agama.
Tanggungjawab yang besar dalam hal ini terletak pada bahu ibu bapa dan masyarakat.
Ibu bapa wajib memelihara tauhid anak-anak dengan tidak membiarkan mereka terjebak dalam perayaan yang bercanggah dengan akidah.
Mereka juga perlu mendidik generasi muda agar memahami bahawa identiti Muslim adalah lebih mulia dan mengawal pendedahan media serta hiburan yang boleh mempengaruhi jiwa anak-anak dengan unsur tasyabbuh.
Di samping itu, masyarakat perlu turut memainkan peranan dengan menganjurkan program bermanfaat, memberi penerangan tentang hukum syarak serta menegur dengan hikmah jika ada yang terjebak dalam perbuatan menyerupai bukan Islam.
Ingatlah, menjaga akidah adalah asas kepada keselamatan dunia dan akhirat.
Islam telah menyediakan kepada kita perayaan yang jauh lebih mulia dan penuh keberkatan, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Sabda Nabi SAW menegaskan bahawa perayaan Islam lebih baik daripada perayaan lain yang membawa kepada pahala dan keredhaan Allah SWT.
Hidupkan syiar Islam ini dengan bersungguh-sungguh dan berbanggalah dengan perayaan ini.
Justeru, tidak ada keperluan bagi umat Islam mencari-cari perayaan asing yang bukan daripada ajaran kita.
Ingatlah, menjaga akidah adalah asas kepada keselamatan dunia dan akhirat. Tanpa akidah yang terpelihara, umat akan hilang arah dan menjadi lemah.
Maka, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mendidik dan membimbing generasi muda agar kekal di atas jalan tauhid yang benar.
Oleh itu, janganlah kita leka dan terpesona dengan budaya asing yang tidak memberi manfaat kepada iman.
Sebaliknya, penuhilah hidup kita dengan amal soleh, ilmu, dan berbanggalah dengan syiar Islam yang sedia ada.
Mengakhiri khutbah pada hari ini beberapa kesimpulan yang kita perolehi biarlah dibawa pulang dan dihayati dalam kehidupan.
1. Umat Islam dilarang menyerupai perayaan agama lain seperti Halloween kerana ia bercanggah dengan akidah dan akhlak Islam.
2. Berpegang dengan identiti Muslim adalah solusi utama bagi mengelakkan tasyabbuh dan menjaga maruah agama.
3. Ibu bapa dan masyarakat bertanggungjawab mendidik generasi muda agar memelihara tauhid dan tidak terpengaruh dengan budaya asing.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, 31 Oktober 2025

