Wednesday, July 22, 2026

Pengiktirafan UEC tidak boleh diputus atas desakan politik – KPT

Pendirian Kerajaan MADANI kekal konsisten bahawa kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa ilmu merupakan prinsip asas negara yang tidak boleh dikompromi.

Mesti Baca

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan, sebarang cadangan berkaitan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mesti berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh diputuskan atas desakan politik atau tuntutan sempit mana-mana pihak.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pendirian itu selaras dengan kenyataan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara tersebut.

Menurut beliau, prinsip utama yang menjadi pegangan kerajaan ialah kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa ilmu, yang tidak boleh dikompromi oleh mana-mana aliran pendidikan.

“Pendirian Kerajaan MADANI kekal konsisten bahawa kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa ilmu merupakan prinsip asas negara yang tidak boleh dikompromi, dan prinsip ini terpakai kepada semua aliran pendidikan tanpa sebarang pengecualian,” katanya dalam satu kenyataan.

Zambry turut menyokong penegasan Perdana Menteri bahawa semua aliran pendidikan termasuk Cina, Tamil, Arab, Inggeris dan sekolah antarabangsa, wajib mengukuhkan penguasaan bahasa Melayu selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan serta aspirasi nasional.

Beliau menjelaskan, langkah tersebut penting dalam pembinaan jati diri dan perpaduan negara, selain memastikan kesepaduan sistem pendidikan yang mencerminkan identiti Malaysia.

Mengulas hala tuju kementeriannya, beliau berkata, KPT akan terus memperkukuh pendidikan tinggi negara yang inklusif dan berdaya saing.

“Penekanan akan terus diberikan kepada penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa teras, bahasa teknologi dan bahasa ilmu, di samping pemerkasaan untuk bahasa Inggeris serta bahasa-bahasa lain seperti Mandarin, Tamil, Arab dan bahasa-bahasa suku,” katanya.

Menurut beliau, matlamat KPT adalah untuk melahirkan bakat nasional yang multilingual, seimbang, berakar pada nilai kenegaraan dan mampu memenuhi cabaran global. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan