UNIVERSITI-UNIVERSITI ternama di China tidak pernah meletakkan syarat Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk pelajar Malaysia melanjutkan pengajian mereka ke institusi pengajian tinggi mereka.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini.
Beliau berkata, sepanjang perundingannya dengan beberapa universiti tersohor negara itu, UEC bukan merupakan syarat kemasukan.
Malahan beliau menjelaskan, MARA telah mula menghantar para pelajarnya yang cemerlang di peringkat Sijila Pelajaran Malaysia (SPM) ke universiti berkenaan.
“Dalam perundingan saya dengan universiti-universiti ternama Negara China seperti Tsinghua, Peking, Shanghai Jiao Tong University, sijil UEC bukan merupakan syarat kemasukan.
“MARA mula hantar pelajar-pelajar SPM yang cemerlang,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, agensi itu turut menggalakkan para pelajar institusi pendidikannya untuk mempelajari pelbagai bahasa dunia, termasuk Mandarin.
Beliau berkata, sebagai contoh MRSM telah perkenalkan bahasa ketiga yang perlu dikuasai sama ada bahasa Arab, Mandarin, Perancis, Jerman, Jepun dan Korea.
Jelas beliau, pelajar-pelajar MRSM yang cemerlang SPM dan dapat menguasai salah satu daripada bahasa tersebut akan diberikan keutamaan untuk ditaja ke universiti-universiti terkemuka dunia di negara-negara tersebut.
“Matlamatnya, untuk melahirkan generasi teknokrat, profesional yang menguasai Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Ketiga samaada Mandarin, Bahasa Arab, Jepun, Korea, Jerman, Perancis atau Sepanyol.
“Insya-Allah pemindahan teknologi dan kepakaran termasuk juga mewujudkan jaringan ekonomi dan perniagaan antarabangsa dengan negara-negara maju ini dapat dilakukan dengan lebih berkesan pada masa akan datang apabila generasi akan datang menguasai lebih banyak bahasa,” katanya. — Edisi 9

