MALAYSIA terus komited memperkasa agenda pembangunan luar bandar di rantau ini dengan menekankan usaha berasaskan inovasi, pendigitalan dan penglibatan komuniti, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Berucap mewakili negara pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Ke-14 (AMRDPE) di Bangkok, Thailand hari ini, beliau menegaskan, Malaysia sedang melaksanakan pelbagai inisiatif berskala besar bagi memastikan kesejahteraan masyarakat luar bandar sentiasa terpelihara.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan Malaysia telah menyalurkan pelaburan infrastruktur luar bandar secara berterusan.
Katanya, ini termasuk RM2.3 bilion untuk 1,364 projek jalan, RM195.2 juta bagi bekalan air bersih kepada 5,000 rumah, serta RM162.9 juta untuk memastikan bekalan elektrik stabil melibatkan 2,010 penerima.
Selain itu, tambah beliau, RM364.45 juta turut diperuntukkan melalui Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) yang telah membantu meningkatkan kualiti hidup lebih 10,000 keluarga.
“Dalam kenyataan saya, saya menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh pembangunan luar bandar yang inklusif dan berdaya tahan
— berasaskan inovasi, penglibatan komuniti, pendigitalan serta peluasan
TVET sebagai pemacu utama kesejahteraan rakyat dan pembasmian
kemiskinan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid berkata, usaha merancakkan ekonomi luar bandar diperkukuh melalui sokongan kepada 55,400 usahawan, terutama bagi memperluaskan capaian pemasaran mereka ke seluruh ASEAN.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid turut mengetengahkan inisiatif Desa Kirana, yang mempromosikan 25 destinasi agro dan ekopelancongan bagi memastikan masyarakat luar bandar menikmati limpahan ekonomi pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Beliau menambah, segala usaha ini telah menunjukkan hasil positif apabila kadar kemiskinan tegar negara menurun kepada 0.09% pada 2024, berbanding 0.2% pada 2022.
Bagi memperkukuh kerjasama serantau, Malaysia mencadangkan penubuhan Majlis Inovasi dan Pembangunan Luar Bandar ASEAN (ARDIC) sebagai platform tetap untuk penyelarasan dasar pembangunan luar bandar serta perkongsian inovasi antara negara ASEAN.
“ARDIC dijangka menjadi pemangkin penting dalam memperkasa pertukaran teknologi, amalan terbaik dan kepakaran antara semua 11 negara ASEAN,” ujarnya.
Malaysia juga, kata Ahmad Zahid, akan memperkenalkan Hari Pembangunan Luar Bandar bermula tahun depan, selaras pengisytiharan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sebagai langkah memberi pengiktirafan kepada peranan komuniti desa dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Mesyuarat itu turut menyaksikan dua organisasi Malaysia iaitu Energy Action Partners (ENACT) dan GE Nitrate Solutions menerima Anugerah Kepimpinan ASEAN atas sumbangan mereka dalam pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan.
Beliau turut menyatakan komitmen Malaysia untuk terus memainkan peranan konstruktif dalam kerangka ASEAN, dengan memastikan komuniti luar bandar menjadi penerima manfaat utama pembangunan menjelang ASEAN 2045. – Edisi 9

