MAJIKAN hari ini tidak lagi hanya menilai kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya lebih menitikberatkan kemahiran praktikal, nilai profesional dan penguasaan pelbagai bahasa dalam kalangan graduan.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, berkata landskap pekerjaan yang semakin mencabar menuntut institusi pendidikan tinggi (IPT) menilai semula pendekatan pengajaran, kurikulum dan pembangunan graduan.
Beliau berkata, pelajar bukan sekadar perlu memahami teori, tetapi mesti mampu mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi dunia sebenar, teruatama menerusi pengalaman diraih melalui latihan industri.
Katanya, hanya bergantung kepada keputusan akademik semata-mata tidak lagi mencukupi. Walaupun memperoleh ijazah kelas pertama, graduan tetap berdepan kesukaran mendapat pekerjaan jika tidak memiliki nilai tambah.
“Penerapan konsep 3L iaitu Learn by Seeing, Learn by Doing dan Learn by Listening sangat disarankan menjadi asas kepada transformasi pengajaran dan pembelajaran yang lebih praktikal serta berfokuskan pengalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi ceramah umum bertajuk Let’s Us Make UiTM Greater yang menghimpunkan pensyarah serta staf Universiti Teknologi MARA (UiTM) secara fizikal dan dalam talian dari semua kampusnya di negara ini.
Hadir sama, Naib Canselor UiTM, Prof. Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin dan pengurusan tertinggi UiTM.
Mohammad Shatar berkata, selain kemahiran teknikal, penguasaan pelbagai bahasa asing kini menjadi kelebihan utama yang dicari majikan, khususnya dalam sektor antarabangsa dan multinasional.
Katanya, graduan yang menguasai tiga hingga lima bahasa berpotensi besar menjadi pilihan utama majikan kerana mampu berkomunikasi merentas budaya dan pasaran global.
“Penguasaan bahasa asing bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah membuka peluang kerjaya di luar negara dan syarikat bertaraf global.
“Sekiranya perkara ini boleh dijayakan secara menyeluruh, pastinya usaha membantu menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global akan dapat direalisasikan,” katanya.

