SEMANGAT luar biasa seorang ibu baharu mencuri perhatian di Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-27 baru-baru ini apabila Joslina Loqman Hakim, 28, tetap hadir menerima ijazah meskipun baru sebulan menjalani pembedahan caesarean (C-zer) untuk melahirkan anak sulungnya.
Joslina, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Agama Islam berkata, kehadirannya ke konvokesyen ini adalah bukti bahawa perjalanan pengajiannya tidak terhenti walaupun terpaksa melalui proses kelahiran yang mencabar.
“Walaupun badan masih lemah dan pergerakan terbatas, saya tekad untuk hadir. Ini detik yang saya perjuangkan sejak bertahun, dan saya mahu jejakkan kaki ke pentas dengan penuh rasa syukur,” katanya.
Belaiu berkata demikian ketika ditemui selepas istiadat konvokesyen berkenaan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah baru-baru ini.
Joslina hadir bersama suaminya, Muhd Syahrul Izzat Jepri, 25, yang turut bergraduasi dalam program yang sama, menjadikan pasangan itu simbol kekuatan dan kesungguhan dalam meneruskan pengajian walaupun berdepan perubahan besar dalam hidup.
Bagi Joslina, cabaran terbesarnya sepanjang pengajian adalah menguruskan masa antara penyediaan tesis tahun akhir (FYP) dan perancangan perkahwinan, sekali gus menuntut kerjasama dan komunikasi erat antara mereka berdua.
“Kami banyak berbincang, banyak mengalah dan saling menguatkan. Itulah kunci kami bertahan sampai hari ini,” katanya.
Sementara itu, menurut Syahrul, beliau sangat bangga melihat isterinya tetap bersemangat walaupun masih dalam fasa pemulihan selepas melahirkan.
“Saya tahu keadaan dia belum pulih sepenuhnya, tetapi dia tetap kuat. Saya hanya beri sokongan penuh kerana saya tahu hari ini sangat bermakna untuk dia.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 31 Ogos 2024 dan menimang cahaya mata pada 7 Oktober lalu, menjadikan pengalaman bergraduasi sebagai ibu bapa baharu sebagai satu kenangan luar biasa dalam hidup mereka.
Mengimbas kembali detik perkenalan, Syahrul berkata, hubungan mereka bermula ketika pembelajaran dalam talian pasa semester dua apabila beliau membantu isterinya menyiapkan tugasan berkaitan Bahasa Arab sebelum hubungan itu berkembang kepada pertunangan pada semester tujuh dan perkahwinan pada semester lapan.
Sebagai pesanan kepada pasangan muda, Syahrul menegaskan bahawa percintaan semasa belajar perlu mempunyai hala tuju yang jelas dan bukan sekadar hubungan tanpa arah.
“Belajar biar betul, bercinta pun biar ada matlamat. Kalau kita saling menguatkan, semuanya jadi mudah dan Allah permudahkan,” katanya. – Oleh BAZLI RAZAK/Edisi 9

