Sunday, July 19, 2026

MQA bakal perkenal ‘PhD by Product’ mulai tahun ini

Inisiatif itu adalah yang pertama seumpamanya dilaksanakan di Malaysia dan antara terawal di rantau ini - Shatar Sabran

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

AGENSI Kelayakan Malaysia (MQA) akan memperkenalkan inisiatif ‘ijazah doktor falsafah (PhD) by Product’ bermula tahun ini, sekali gus membuka lembaran baharu dalam landskap pendidikan tinggi negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, berkata, inisiatif itu adalah yang pertama seumpamanya dilaksanakan di Malaysia dan antara terawal di rantau ini, selaras dengan perkembangan pendidikan tinggi dunia yang semakin menekankan inovasi dan impak.

Beliau berkata, langkah itu menyokong hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global.

“Inisiatif ‘PhD by Product’ ini memberi ruang lebih fleksibel kepada institusi pendidikan tinggi (IPT) dalam memperkukuh daya saing di peringkat nasional dan anarabangsa dalam arena pendidikan tinggi.

“Sasaran kerajaan untuk menarik 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2030 memerlukan pendekatan lebih dinamik dalam sistem pendidikan tinggi, termasuk memperluas bentuk pengiktirafan akademik terhadap inovasi dan penciptaan produk berimpak tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, ‘PhD by Product’ memberi peluang kepada individu yang telah menghasilkan produk inovatif berkualiti tinggi, sama ada di dalam atau luar negara, untuk dinilai setara dengan calon PhD konvensional.

Beliau berkata, terdapat individu yang berjaya membangunkan produk berimpak tinggi dan mampu menyelesaikan isu dalam industri serta masyarakat, namun tidak melalui laluan penyelidikan tesis tradisional.

Katanya, produk yang dihasilkan itu wajar diberi pengiktirafan menerusi laluan akademik lebih fleksibel tanpa menjejaskan standard kualiti.

“Setiap produk yang dicalonkan perlu memenuhi standard produk nasional serta melalui proses penilaian ketat yang ditetapkan badan berkaitan dan calon yang memenuhi semua kriteria akan layak dianugerahkan kelayakan Tahap 8 (T8), iaitu setara dengan PhD dalam Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).

“Inisiatif ini turut memberi ruang kepada individu yang cenderung kepada inovasi berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), reka cipta serta pembangunan produk, berbanding penulisan tesis akademik semata-mata,” katanya.

Mohammad Shatar berkata, bukan semua individu cenderung kepada penulisan akademik tradisional, namun ada yang memiliki kekuatan dalam inovasi dan penciptaan produk, justeru inisiatif itu membuka peluang lebih inklusif tanpa mengabaikan integriti dan kualiti.

Katanya, MQA dijangka mengeluarkan garis panduan rasmi pelaksanaan ‘PhD by Product’ pada Julai 2026 dan menjangkakan penyertaan meluas daripada IPT di seluruh negara.

“Pelaksanaan inisiatif itu dijangka meletakkan Malaysia sebagai antara negara terawal yang mengiktiraf inovasi produk sebagai laluan akademik bertaraf PhD, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara dalam pendidikan tinggi antarabangsa,” katanya.

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan