25.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

5 nelayan warga Myanmar dicekup di perairan Kuantan

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang telah menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C pada jarak kira- kira 1.7 batu nautika tenggara Kuala Kuantan tengah hari semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Op Makmur di sekitar perairan Kuala Kuantan, telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan bergerak dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri sebaik dihampiri aset Maritim.

Menurut beliau, selepas berjaya ditahan, pemeriksaan mendapati bot dikendalikan lima kru termasuk tekong warga Myanmar, berumur antara 24 sehingga 42 tahun dan disyaki melakukan kesalahan kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah serta lesen vesel telah tamat tempoh.

“Kesemua mereka bersama peralatan menangkap ikan dan hasil laut yang dianggarkan seberat 400 kilogram ditahan dan diiring masuk ke jeti Pusat Tahanan Vesel Maritim Kuantan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki telah melanggar syarat lesen dan syarat pas kerja,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim terutamanya komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang serta syarat sah lesen dan mengutamakan keselamatan apabila berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

Sementara itu di LUMUT, Maritim Malaysia Perak telah menerima laporan awam mengenai insiden sebuah bot nelayan tempatan dikhuatiri tenggelam di posisi 6.6 batu nautika barat laut Pulau Talang sekitar pukul 12.05 tengah malam semalam.

Advertisements

Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot PERKASA 1223 dan KM NYALAU Maritim Malaysia serta bot PSC 24 Pasukan Polis Marin (PPM) telah diatur gerak ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, bot yang berpangkalan di Pantai Remis itu dikatakan dikendalikan oleh dua kru warga Myanmar dan telah dipukul ribut semasa di laut.

“Operasi mencari dan menyelamat (carilamat) ini juga turut melibatkan enam bot nelayan komuniti sekitar.

“Keluasan sektor carilamat sehingga kini melibatkan tiga sektor iaitu merangkumi 62.78 batu nautika persegi di perairan Pulau Talang.

“Keadaan laut yang bergelora dengan ketinggian ombak 0.5 hingga 1.0 meter dan tiupan angin 10.20 km/ jam tidak menentu di lokasi kejadian menyukarkan operasi carilamat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Shahrizan menambah, maklumat yang sama juga turut disalurkan kepada Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, Pasukan Polis Marin Kampung Acheh, dan ‘Maritime Component Operation Comander’ (MCOC).

Beliau memberitahu, Maritim Malaysia Perak menggesa komuniti maritim agar mengutamakan keselamatan semasa berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini yang kurang baik. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan