27.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 25, 2022

Ibu tunggal didakwa gubah wang haram hampir RM1 juta

Mesti Baca


CYBERJAYA – Seorang ibu tunggal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 19 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram berjumlah RM962,845.21 tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Loo Mei Lin, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Bernama melaporkan mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang merupakan ahli perniagaan didakwa menggunakan satu nombor akaun sebagai peralatan kesalahan berkaitan aktiviti haram.

Dalam pertuduhan kedua hingga ketujuh, tertuduh didakwa menerima wang dengan jumlah keseluruhan RM962,845.21 yang merupakan hasil aktiviti haram melalui akaun miliknya daripada mangsa, Teh Eet Meng, 55.

Bagi pertuduhan kelapan hingga 19 pula, tertuduh didakwa telah menggunakan wang berjumlah keseluruhan RM273,255.84 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, bagi membayar kad kredit OCBC Bank, Public Bank, RHB Bank dan HSBC Amanah Malaysia Berhad miliknya serta membeli polisi-polisi insurans atas nama ahli keluarga.

Baca juga:   Lelaki didenda RM10,000 hantar video, gambar lucah

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah pada 29 Disember 2014 hingga 30 Julai 2015 dan dikemukakan menurut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Baca juga:   11 mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja selamat pulang

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Zainal mencadangkan jaminan sebanyak RM60,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak boleh mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, peguam tertuduh Michael Tan merayu jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya berdepan dengan dua pertuduhan lain selain menjadi ibu tunggal kepada tiga orang anak sejak 20 tahun lalu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 berserta kesemua syarat tambahan yang dipohon pendakwaan.
Kes akan disebut semula pada 4 Jun depan.

Terkini

Kanak-kanak 5 tahun maut, bapa, kakak parah nahas 2 kenderaan

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dalam kejadian kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jalan Kesang Garing,...

Lagi Artikel Berkaitan