KISAH dua sahabat, Mohamad Al-Bukhari Ellia dan Mohamad Azizul Abdullah yang berjalan kaki dari Bagan Serai, Perak ke Mekah perlu menjadi inspirasi kepada semua.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana kedua-dua mereka sanggup berjalan ribuan kilometer demi meraih reda Illahi.
“Sejauh mana pula usaha kita dalam mendekatkan diri mencari kasihnya Rabbi? Tepuk dada tanyalah hati,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Zahid berkata, beliau dipertemukan dengan Mohamad Al-Bukhari dan Mohamad Azizul ketika sedang beriktikaf di Masjid Nabawi, Madinah.
Katanya, mereka berkongsi kisah luar biasa berjalan kaki dari tanahair menuju ke Mekah dalam misi menunaikan ibadah Haji 2025.

“Melangkahkan kaki sejauh ribuan kilometer selama beberapa bulan dari Masjid Jamek Changkat Lobak, Bagan Serai menzahirkan ketabahan dan membuktikan keberanian mereka di dalam merealisasikan niat suci untuk mencari cinta Illahi dan Nabi (Muhammad) SAW.
“Benarlah firmah Allah SWTdi dalam surah Al-Hajj: Ayat 27 yang bermaksud: 𝐷𝑎𝑛 𝑠𝑒𝑟𝑢𝑙𝑎ℎ 𝑚𝑎𝑛𝑢𝑠𝑖𝑎 𝑢𝑛𝑡𝑢𝑘 𝑚𝑒𝑛𝑔𝑒𝑟𝑗𝑎𝑘𝑎𝑛 ℎ𝑎𝑗𝑖, 𝑛𝑒𝑠𝑐𝑎𝑦𝑎 𝑚𝑒𝑟𝑒𝑘𝑎 𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑑𝑎𝑡𝑎𝑛𝑔 𝑘𝑒𝑝𝑎𝑑𝑎𝑚𝑢 𝑑𝑒𝑛𝑔𝑎𝑛 𝑏𝑒𝑟𝑗𝑎𝑙𝑎𝑛 𝑘𝑎𝑘𝑖, 𝑑𝑎𝑛 𝑑𝑒𝑛𝑔𝑎𝑛 𝑚𝑒𝑛𝑎𝑖𝑘𝑖 𝑢𝑛𝑡𝑎 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑘𝑢𝑟𝑢𝑠, 𝑑𝑎𝑡𝑎𝑛𝑔 𝑑𝑎𝑟𝑖 𝑠𝑒𝑔𝑒𝑛𝑎𝑝 𝑝𝑒𝑛𝑗𝑢𝑟𝑢 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑗𝑎𝑢ℎ,” kata Zahid.
Untuk rekod, Mohamad Al-Bukhari, 26, dan sahabatnya, Mohamad Azizul, 34, telah memulakan misi berjalan kaki dari Bagan Serai, Perak menuju ke Mekah sejak Disember tahun lalu.
Menerusi perkongsian TikTok Mohamad Al-Bukhari, perancangan berjalan kaki ke Tanah Suci itu merupakan ilham daripada kisah-kisah para sahabat Nabi Muhammad SAW yang sering mengembara bagi menyampaikan dakwah syiar Islam.
Bagi mencapai impian tersebut, mereka mempersiapkan dengan menjalani latihan berjalan kaki sejauh 220 kilometer (km) dari Changkat Lobak ke Cameron Highland pada November.
Menurut laporan media, dalam perjalanan tersebut, mereka berjalan kaki menuju ke Hatyai sebelum menaiki kereta api ke Bangkok, Thailand dan seterusnya terbang menuju ke New Delhi, India.
Mereka kemudian berjalan kaki ke Lahore dan Karachi di Pakistan, kemudian ke Bandar Abbas, Iran dan menaiki feri ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum tiba di Riyadh dan Madinah, Arab Saudi.- Edisi 9

