KEPULANGAN Menggoncang Syurga, itulah judul filem pendek yang dihasilkan oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini.
Mengisarkan tentang konflik anak tunggal lelaki Faridah bernama Ismail, yang telah ‘menggoncang syurganya’ kerana terpaksa berperang dengan mentaliti masyarakat.
Ini kerana kebanyakan masyarakat memandangkan lelaki harus hidup berdikari dan tinggal berasingan daripada ibu dan bapa mereka.
Konflik tercetus di mana rakan sekerja Ismail kerap mengusik dia yang masih tinggal bersama ibunya.
Rakan-rakan sekerja Ismail yang berasal dari Borneo telah lama merantau dan hidup berdikari, membuatkan ego Ismail tercabar.
Namun, tunjang kekeluargaan tersebut sebenarnya turut dijunjung tinggi oleh rakan-rakan Ismail yang lain walaupun berbeza agama dan bangsa.

Filem pendek tersebut menampilkan pelakon berpengalaman Rosnah Johari sebagai Fauziah di samping Izzul Faiq (Ismail) serta para pelakon yang mewakili pelbagai kaum di Malaysia.
Menurut KPN, secara keseluruhan, iklan tersebut memaparkan tiga mesej yang jelas iaitu saling memahami, saling menghormati dan saling menerima antara satu sama lain sebagai teras keharmonian rakyat di negara ini.
“Iklan ini menyeru rakyat Malaysia agar terus menjaga hubungan yang erat, menyuburkan budaya saling menghargai, serta memperkukuh jati diri nasional.
“Iklan ini mengangkat nilai-nilai murni yang menjadi tunjang perpaduan negara seperti kekeluargaan, kesederhanaan, keharmonian, serta tolak ansur antara semua kaum,” KPN dalam satu kenyataan hari ini.
Iklan tersebut dijangka ditayang melalui saluran televisyen, dan radio seperti RTM, Bernama, TVS dan Astro serta platform media sosial Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang. – Edisi 9

