26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Kopitiam Belia platform curah pendapat, idea tanpa prejudis

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – ‘Kopitiam Belia’ yang dilancarkan Majlis Belia Malaysia (MBM) hari ini dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dilihat mampu menjadi platform golongan belia mencurahkan pendapat serta idea tanpa rasa prejudis dan batas perkauman.

Presiden MBM, Jufitri Joha berkata, Kopitiam Belia juga merupakan satu pendekatan baharu bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan belia di negara ini.

Menurutnya, program yang diilhamkan oleh Jawatankuasa Perpaduan, Integrasi Nasional dan Kepenggunaan MBM itu mengandungi pelbagai program yang diadakan secara dalam talian sebagai satu usaha untuk menyemarakkan lagi Sambutan Bulan Kebangsaan Malaysia.

“MBM menggunakan medium dalam talian adalah kerana memperlihatkan kesedaran akan tahap patriotisme belia di negara ini perlu dipertingkatkan dengan penggunaan media baharu.

“Medium media baharu yang berasaskan internet amat membantu dalam menyebarluaskan pelbagai jenis maklumat yang ingin disalurkan khususnya informasi kenegaraan dan pendidikan patriotisme dan perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jufitri berkata, aspek patriotisme seharusnya diberi penekanan secara terperinci dan haruslah dipupuk dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurutnya, paparan maklumat menerusi medium komunikasi berkenaan mempengaruhi pengguna dan sekaligus memberi kesan kepada golongan belia.

“Oleh sebab itu, semangat dalam menyambut Sambutan Bulan Kebangsaan Malaysia tetap meriah dengan penggunaan penuh media baharu seperti penganjuran sesi webinar berserta kuiz kenegaraan dan pertandingan video TikTok yang mendapat sambutan hangat daripada golongan belia.

“MBM melihat ini petanda bahawa masih ramai anak muda mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.

Mengulas lanjut, Jufitri berkata dengan pelancaran Kopitiam Belia, MBM berharap ianya dapat dimanfaatkan sepenuhnya baik dari dalam kalangan anak muda mahupun dari pihak kerajaan dalam menyediakan segala maklumat kepada golongan belia dalam platform terbaharu berkenaan.

“Usaha sebegini harus terus disuburkan kerana golongan belia masa kini sudah agak lama hidup dalam tekanan pandemik yang panjang.

“Kopitiam Belia ini diharap mampu menjadi ubat kepada tekanan tersebut dengan topik-topik perbincangan dialihkan kepada soal kehidupan bersatu-padu dalam ‘Keluarga Malaysia’ yang baharu.

Menurutnya, MBM juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Kementerian Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Halimah Mohamed Sadique yang mengiktiraf badan bukan kerajaan (NGO) sebagai rakan perpaduan atau Friends of Unity.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique telah mengiktiraf NGO sebagai rakan perpaduan atau Friends of Unity.

“MBM berazam untuk menjayakan agenda penting negara yang berteraskan Dasar Perpaduan Negara kerana ianya menjamin kestabilan, kesejahteraan dan kemakmuran negara,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan