34.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Najib kemuka empat cadangan kurangkan kes jangkitan Covid-19

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengemukakan empat cadangan untuk dilaksanakan kerajaan bagi mengurangkan kadar jangkitan wabak Covid-19.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ia susulan kegagalan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilaksanakan sejak 22 Januari lalu untuk mengurangkan kadar kes jangkitan.

Menurut beliau, empat cadangan itu adalah mengaktifkan ciri notifikasi atau pengesanan kontak rapat automatik Google atau Apple kepada sistem MySejahtera.

“(Ini) meringankan beban pengesanan kontak rapat KKM (Kementerian Kesihatan) supaya rakyat yang terdedah kepada kes positif Covid akan diberi amaran secepat mungkin agar mereka boleh mengambil tindakan untuk tidak menjangkit keluarga dan kawan-kawan mereka serta mengambil langkah seterusnya untuk disaring.

“Seperti disaran saya sebelum ini, sistem notifikasi kontak rapat ini adalah percuma dan ianya dapat ditambah kepada MySejahtera dengan murah, mudah dan laju,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Najib antara pemimpin yang paling lantang mengkritik tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksanakan PKP 2.0 yang dikatakan separuh masak kerana tidak dilaksanakan secara menyeluruh.

Akibatnya, selepas 23 hari langkah itu dilaksanakan, jumlah kes baharu jangkitan tidak menunjukkan penurunan sebaliknya sudah melepasi jumlah 5,000 kes sehari.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, selain itu kerajaan juga dicadang memperluaskan saringan Covid-19 ke seluruh negara.

“Sebenarnya kerajaan telah melakukan kesilapan dalam tempoh PKP 2.0 apabila mereka umum bahawa hanya kontak rapat kes positif yang bergejala akan disaring biarpun sehingga 80 peratus daripada mereka yang positif Covid-19 tidak bergejala tetapi mampu menjangkit orang lain.

“Dengan itu, saya harap kerajaan akan memperluaskan lagi kapasiti dan mempermudahkan lagi rakyat boleh disaring,” katanya.

Advertisements

Beliau berkata, dengan wujudnya kit ujian pantas Covid (RTK-antigen) mudah guna dengan kosnya antara RM60 ke RM150 yang sudah digunakan di Malaysia, kerajaan patut melatih dan mewujudkan satu pasukan pegawai saringan di seluruh negara.

Pusat-pusat saringan sementara, kata beliau, juga perlu diwujudkan secara meluas di seluruh negara.

“Memandangkan pendapatan ramai yang telah terjejas, kerajaan juga perlu memberi subsidi sehingga RM50 bagi setiap kit ujian pantas. 10 juta kit X RM50 = RM500 juta.

“Kerajaan sendiri yang kata negara rugi RM700 juta setiap hari dengan PKP 2.0. Jadi, kiralah untung jika subsidi ini dapat menggalakan lebih ramai untuk disaring supaya boleh diasingkan secepat mungkin agar negara dapat memendekkan PKP 2.0 dengan sehari sahaja,” tambah beliau.

Katanya, pusat saringan sementara tersebut juga boleh diguna untuk rancangan vaksinasi negara pada masa depan manakala pasukan khas saringan boleh membantu kerja-kerja vaksinasi.

Najib juga mencadangkan agar KKM bekerja dengan pihak hospital swasta untuk menambah pusat kuarantin kes positif Covid-19 sementara dengan mengambil alih hotel yang telah berhenti operasi serta kem-kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) memandangkan kuarantin dan rawatan kendiri di rumah adalah berisiko dan kurang selamat.

Manakala cadangan terakhir beliau supaya kerajaan menyediakan talian ‘hotline’ serta menggunakan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi membolehkan pekerja menyalur maklumat tanpa identiti mereka terbocor jika terdapat tempat-tempat kerja yang cuba menyorok pekerja yang positif Covid-19 supaya boleh terus beroperasi dan mengelak dari didenda.

“Orang putih kata ‘takrifan kegilaan adalah melakukan perkara serupa berulang-kali tetapi mengharapkan keputusan yang berbeza’.

“Sebab itu, saya percaya pendekatan yang baru perlu diambil serta-merta setelah kerajaan membazir peluang untuk melaksanakan PKP yang ketat selama 14 hari. Jangan ulang perkara yang sudah gagal,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan