KUALA LUMPUR – Lagi laporan polis dibuat terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berkaitan buku memoir beliau, My Story: Justice in the Wilderness.
Kali ini oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Laporan polis itu dibuat oleh Exco Pemudanya, Muhamad Nur Aizat Noor Azam dan Datuk Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin di Balai Polis Jalan Travers, Brickfield, di sini.
Menurut Muhamad Nur Aizat, Pemuda UMNO melihat tulisan dan dakwaan Tommy Thomas di dalam bukunya itu sebagai semberono dan boleh mengundang pelbagai persepsi buruk terhadap masyarakat.
“Pemuda UMNO membuat laporan polis ini kerana melihat isu tulisan dan dakwaan Tommy Thomas itu adalah serius dan semberono. Tommy Thomas seharusnya malu terhadap dirinya sendiri dengan menghasilkan buku yang lebih kepada satira politik untuk mencari salah pihak lain dan cuba menutup kesalahan diri sendiri semasa menjadi Peguam Negara”, kata Aizat dalam kenyataannya kepada media hari ini.
Kelmarin, bekas Pegawai Kanan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria telah membuat laporan terhadap bekas ketuanya itu di Balai Polis Cyberjaya.
Ekoran itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, satu kertas siasatan telah dibuka dan pihaknya akan memanggil Tommy Thomas secepat mungkin untuk merakam percakapan.
Sebelum itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan saman terhadap Tommy kerana menuduh beliau memainkan peranan dalam pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Dalam notis tuntutan kepada Tommy, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata anak guamnya menuntut ganti rugi RM10 juta dan mengemukakan “permohonan maaf” yang sebenar-benarnya yang akan ditentukan oleh peguam.
Muhamad Nur Aizat berkata, Pemuda UMNO juga menggesa agar Tommy segera disiasat serta menarik balik bukunya itu kerana dakwaan yang ditulis di dalam buku itu adalah sangat tidak bertanggungjawab dan bermotif jahat serta mempunyai agenda disebaliknya.
Dalam laporan polis itu, beliau juga melahirkan kebimbangan terhadap dakwaan melulu Tommy ke atas kakitangan Jabatan Peguam Negara yang boleh mendatangkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat dan masyarakat antarabangsa.
“Pemuda UMNO juga melahirkan kebimbangan terhadap dakwaan beliau yang telah dinafikan oleh pihak-pihak yang didakwa, sekaligus boleh menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat dan itu juga akan membawa kepada percanggahan fakta yang boleh mencalar imej badan kehakiman dan sistem perundangan negara”. – Edisi 9