30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Tommy Thomas patut tulis buku ilmiah bukan sekadar satira politik

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh AIZAT AZAM

BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, melalui penerbitan bukunya bertajuk My Story: Justice in the Wilderness yang telah membuat beberapa dakwaan yang dianggap tidak selaras dengan kewajipan kerahsiaan (duty of confidentiality) sebagai seorang yang pernah memegang jawatan sebagai Peguam Negara.

Secara asasnya, Tommy mempunyai kewajipan berperlembagaan (constitutional duty) untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dan juga Kabinet dalam urusan-urusan perundangan yang melibatkan urusan pemerintahan negarap kita yang mana dengan jelasnya diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kewajipan ini semestinya termasuk kewajipan kerahsiaan pada semua masa bukan sahaja apabila beliau memegang jawatan sebagai Peguam Negara tetapi juga termasuk selepas beliau meletakkan jawatan.

Tommy harus sedar bahawa secara konvensyennya juga, sebarang urusan pentadbiran tidak akan didedahkan kepada orang ramai selepas peletakan jawatan melainkan sekiranya ia adalah berkenaan dengan tindakan-tindakan yang menyalahi undang-undang.

Namun begitu, Tommy dalam buku tersebut telahpun membuat dakwaan-dakwaan tentang urusan pemerintahan (government affairs) yang kononnya berlaku semasa beliau menjalankan tugasnya sebagai Peguam Negara.

Urusan pemerintahan ini adalah urusan yang sepatutnya menjadi rahsia rasmi yang tidak seharusnya didedahkan kepada orang awam (walaupun ianya benar sekalipun, yang mana adalah dinafikan).

Persoalan yang timbul di sini adalah apakah motif beliau dalam membuat dakwaan-dakwaan sedemikian hanya selepas beliau meletakkan jawatan?  

Sekiranya dakwaan-dakwaan tersebut (berkenaan urusan pemerintahan) adalah benar, yang mana adalah dinafikan, dan beliau amat tidak berpuas hati dengan urusan pemerintahan yang didakwa tersebut, beliau sepatutnya meletakkan jawatan beliau dengan segera dan bukannya meletakkan jawatan hanya apabila mengetahui bahawa Kerajaan Pakatan Harapan telah jatuh.

Tommy juga perlu ingat bahawa beliau mesti melaksanakan tugasnya sebagai Peguam Negara tanpa apa-apa unsur campur tangan badan Eksekutif.

Beliau tidak tertakluk kepada nasihat atau keputusan mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri dalam melaksanakan tugasnya sebagai Peguam Negara.

Namun, Tommy telah gagal memastikan campur tangan badan Eksekutif dalam perlaksanaan tanggungjawabnya sepertimana yang boleh dilihat dalam dakwaan beliau (di dalam buku tersebut) berkenaan isu Zakir Naik.

ZAKIR NAIK

Di dalam buku tersebut, Tommy telah mendakwa bahawa terdapat campur tangan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu Zakir Naik di mana nasihat Tommy kepada Perdana Menteri berkenaan dengan prosiding ekstradisi dan pengusiran (expulsion) Zakir tidak diterima dan telah ditolak oleh Tun pada masa itu.

Pertamanya, Tommy tidak perlu mendapatkan nasihat atau kebenaran Tun sekiranya Tommy benar-benar ingin meneruskan dengan proses expulsion Zakir daripada negara ini dan beliau boleh terus menjalankan proses tersebut. Namun, ini tidak dilakukan.

Keduanya, sekiranya Tommy berpandangan bahawa Zakir mesti dan wajar diusir keluar daripada Malaysia dan nasihat beliau kepada Tun bagi tujuan tersebut mesti dan wajar diterima oleh Tun, Tommy sepatutnya memegang kepada prinsipnya dan meletakkan jawatannya sejurus Tun menolak nasihatnya.

Namun, ini tidak dilakukan Tommy walaupun beliau mendakwa bahawa terdapat campur tangan daripada Tun seperti yang dinyatakan, yang mana juga menimbulkan banyak persoalan berkenaan kebenaran, ketelusan serta kesahihan dakwaannya.

Saya perlu juga menyatakan di sini bahawa dakwaan beliau berkenaan, antara lainnya, kecekapan pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara juga adalah amat serius dan beliau perlu memohon maaf bagi membuat dakwaan yang tidak berasas tersebut.

Tommy tidak seharusnya lupa bahawa beliau, sebagai Peguam Negara, mesti berpegang kepada prinsip bertanggungjawab bersama kepada Jabatan Peguam Negara dan bukannya bertindak dengan membuat dakwaan sebegitu.

Sebagai ketua, beliau seharusnya memimpin dan mendidik pegawai-pegawai di bawahnya dan bukannya bertindak dengan cara menghina mereka sebegini.

Tindakan Tommy dalam membuat dakwaan sebegitu merupakan satu penghinaan kepada dirinya sendiri sebagai ketua yang memimpin pegawai undang-undang di bawah pentadbiran beliau pada masa tersebut.

Saya menggesa supaya Tommy memberikan penjelasan terhadap persoalan yang telah saya bangkitkan dan beliau seharusnya memohon maaf bagi segala dakwaan yang dibuat yang mana telahpun menyebabkan kredibiliti pentadbiran negara dipandang rendah atau hina oleh masyarakat Malaysia dan juga komuniti antarabangsa.

Akhir sekali, Tommy sebagai bekas Peguam Negara sepatutnya perlu menulis dengan lebih ilmiah dan bukan bertaraf komik atau satira politik semata-mata, yang mungkin dengan tujuan untuk mencari publisiti murahan bagi menutup segala kelemahan semasa menjadi Peguam Negara.

• Aizat Azam adalah pengamal undang-undang yang juga Exco Pemuda UMNO. Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Edisi 9.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan