24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Guna hotel, kem PLKN rawat kes berisiko rendah Covid-19 – Najib

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu lebih berinovasi untuk mencari jalan bagi menambah kapasiti pusat rawatan kes berisiko rendah Covid-19 termasuk menggunakan hotel dan kem PLKN yang tidak lagi terpakai.

Datuk Seri Najib Tun Razak semasa melontarkan cadangan itu berkata, langkah tersebut perlu agar pesakit yang positif Covid tidak perlu rawatan serta kuarantin kendiri di rumah atau dipaksa menghabiskan segala simpanan usia tua mereka untuk rawatan hospital swasta yang mahal.

“Kita ada banyak hotel-hotel yang sudah berhenti operasi sejak pandemik bermula. Kita juga ada banyak kem-kem PLKN yang tidak lagi terpakai.

“Kenapa tempat-tempat ini tidak boleh dipulihkan oleh kerajaan untuk menjadi pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah dalam masa yang singkat?,” tulis beliau dalam hantaran Facebook hari ini.

Najib mengulas mengenai kes seorang lelaki warga emas yang mengalami kemurungan selepas disahkan positif Covid-19 ditemui mati di rumahnya di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor, semalam.

Tangkap layar kejadian seorang warga emas ditemui mati di rumahnya selepas kekurangan dijangkiti Covid-19.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah, mangsa berusia 66 tahun itu membuat dua ujian saringan Covid-19 pada 7 serta 18 Januari dan kedua-duanya didapati positif.

“Mangsa dilaporkan telah membayar kos yang tinggi di hospital swasta untuk rawatan Covif-19 dan mengajak isterinya ke bank untuk memindahkan wang sebanyak RM40,000 untuk tujuan rawatan Covid-19, semalam.

“Menurut isterinya, mangsa kerap mengadu kesakitan dan berada dalam keadaan murung apabila disahkan positif Covid-19, malah sering berkata lebih baik mati daripada sakit seperti ini,” katanya.

Advertisements

Mengulas lanjut, Najib berkata, berita kematian itu amat menyedihkan dan mengundang kemarahan ramai.

“Kenapa seorang pesakit Covid yang mengadu kesakitan dan bergejala tidak diberi tempat di fasiliti rawatan kerajaan?

“Sehingga seorang warga emas yang dalam keadaan positif Covid dan berpeluang menjangkiti orang lain perlu pergi ke bank untuk mengeluarkan duit RM40,000 untuk menjalani rawatan Covid di hospital swasta.

“Sebuah kerajaan yang tidak mampu menjaga warga sendiri yang jatuh sakit adalah sebuah kerajaan yang gagal segagalnya,” kata Najib.

Sementara itu, Najib berkata, beliau faham jumlah kes aktif Covid sudah melepasi kapasiti sistem kesihatan dan telah banyak memberi amaran bahawa peningkatan kes bakal berlaku pada bulan November dan bulan Disember.

Ujarnya, ini apabila kerajaan tiba-tiba tarik balik Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tarik balik sekatan rentas negeri, lancarkan kempen pelancongan domestik dan melonggarkan SOP Covid.

“Sebab itu, saya saran kerajaan untuk lebih berinovasi untuk mencari jalan bagi menambah kapasiti pusat rawatan kes berisiko rendah agar pesakit yang positif Covid tidak diperlu rawat kendiri serta kuarantin kendiri di rumah atau dipaksa menghabiskan segala simpanan usia tua mereka untuk rawatan hospital swasta yang mahal,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga perlu bekerjasama dengan pihak polis dan umumkan secara awam bahawa mereka yang positif Covid dan sedang mengalami kesakitan tetapi tidak berjaya berhubung dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dibenarkan untuk menghubungi talian kecemasan polis untuk mendapat bantuan segera dari pihak KKM.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan