Monday, July 20, 2026

Titah Adendum tak sah, Najib kekal di Penjara Kajang

Hukuman seperti itu tidak boleh dilaksanakan kerana tiada peruntukan undang-undang bagi mekanisme itu dijalankan di negara ini - Hakim Alice Loke

Mesti Baca

HASRAT para penyokong Datuk Seri Najib Razak mahu melihat beliau dibebaskan daripada Penjara Kajang dan menjalani baki hukuman di rumah dimusnahkan oleh keputusan mahkamah hari ini.

Ia ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri itu untuk melaksanakan Titah Adendum supaya menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah. 

Hakim, Alice Loke Yee Ching berkata, hukuman seperti itu tidak boleh dilaksanakan kerana tiada peruntukan undang-undang bagi mekanisme itu dijalankan di negara ini.

Semasa membaca keputusan penghakiman hampir satu jam, beliau berkata, pembelaan yang mewakili bekas Ahli Parlimen Pekan menghujahkan bahawa mekanisme pelaksanaan termaktub di bawah Seksyen 43 Akta Penjara 1995 serta Peraturan 111 Peraturan-Peraturan Penjara 2000 mengenai release on licence.

Bagaimanapun beliau berkata, mahkamah mentafsir kuasa pelepasan itu sebagai kuasa statutori Ketua Pengarah Jabatan Penjara.
“Jabatan berkenaan mempunyai budi bicara untuk menetapkan tempoh dan syarat termasuk banduan boleh dipanggil semula ke penjara pada bila-bila masa,” katanya.

Selain itu beliau berkata, permohonan semakan kehakiman supaya diberi pelepasan awal dari penjara didapati tidak sah dan pelaksanaannya tidak berasas dari segi undang-undang.

Menurutnya, ini kerana titah itu tidak dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari 2024, sekali gus tidak mematuhi tatacara Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menambah, hujahan pemohon bahawa perintah itu merupakan ‘respite’ yang tidak memerlukan nasihat Lembaga Pengampunan turut ditolak kerana kandungan titah itu tidak menunjukkan keadaan mendesak.

“Jika pengurangan hukuman dibincangkan dalam mesyuarat, tiada sebab isu tahanan rumah tidak dibincangkan dalam mesyuarat sama.

“Hujahan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak terikat dalam membuat keputusan di mesyuarat juga tidak diterima.

“Susulan itu, perkara ini akan membuka ruang kepada keputusan arbitrari dan bertentangan dengan prinsip bahawa kuasa budi bicara mesti dilaksanakan secara berhemah demi kepentingan awam,” kata hakim.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa titah itu bukan perintah yang sah dalam pelaksanaan prerogatif ihsan.

Katanya, mahkamah tidak boleh mengeluarkan perintah ‘mandamus’ untuk memaksa responden mematuhinya.

Menurutnya, Agong merupakan Raja Berperlembagaan dan melaksanakan kuasa serta fungsi mengikut peruntukan perlembagaan.

Beliau menambah, pelaksanaan prerogatif ihsan mesti dilakukan dalam kerangka undang-undang dengan kawalan dan had yang termaktub.

Sementara itu, Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, anak guam beliau kecewa dengan keputusan tersebut.

“Sudah tentu dia kecewa, kenapa dia berasa kecewa kerana keputusan Titah Adendum pada 29 Januari 2024, hampir memasuki tempoh dua tahun.

“Ini perintah Yang di-Pertuan Agong, tetapi tertangguh untuk tempoh hampir dua tahun,” katanya. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan