25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Biden menang namun keangkuhan Trump belum berakhir

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

CALON Demokrat, Joe Biden disahkan menang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) sekaligus menyingkirkan penyandang jawatan itu Donald Trump – seorang ahli perniagaan yang dianggap banyak menimbulkan masalah sepanjang pemerintahannya selepas empat tahun.

Biden yang berusia 77 tahun menjadi Presiden AS tertua dalam sejarah negara itu apabila memenangi pengundian di Pennsylvania yang mempunyai 20 undi elektoral dan Nevada (enam undi elektoral).

Kemenangan itu membolehkan bekas Naib Presiden AS tersebut menguasai 279 undi elektoral melepasi had minimum sebanyak 270 undi elektoral untuk memimpin negara paling berkuasa di dunia itu. Manakala Trump pula hanya mendapat 214 daripada keseluruhan 538 undi elektoral.

Bagaimanapun ketika pasukan Biden dan penyokong-penyokong meraih kemenangan bersejarah itu, Trump yang menjadi Presiden AS kedua selepas George H.W Bush yang gagal memegang jawatan itu bagi penggal kedua sedang bermain golf terus angkuh dengan menyatakan pilihan raya masih belum selesai.

Dalam satu kenyataan pasukan kempen Trump berkata, Biden belum disahkan sebagai pemenang di mana-mana negeri, apatah lagi di negeri yang menyaksikan pertarungan sengit.

Mereka juga menegaskan, Trump yang kembali ke Rumah Putih selepas selesai bermain golf tidak mempunyai rancangan untuk mengaku kalah sementara pasukan peguamnya akan mula melakukan proses perundangan mulai esok.

Ketika Trump dan pasukannya terus dibelenggu kekalutan dan keangkuhan, bakal Presiden AS Ke-46, Biden terus tenang. Beliau yang turut mendapat undi popular paling banyak dalam sejarah pilihan raya AS itu melebihi 73 juta undi berkata, saatnya sudah tiba untuk AS kembali bersatu dan membuang segala kemarahan.

‘’Kempen sudah berakhir, saatnya kita melupakan kemarahan dan retorik kasar, kini masanya untuk kita bersatu sebagai satu bangsa,’’ kata Biden melalui Twitternya.

Beliau berkata, kerja di hadapan amat sukar namun beliau berjanji akan menjadi Presiden kepada semua warga Amerika, sama ada mereka memilih beliau atau tidak.

Advertisements

Malam tadi, ketika berucap, Biden berkata, penduduk AS memberikannya mandat untuk menangani pandemik Covid-19, masalah ekonomi, perubahan iklim dan perkauman.

Sementara itu Kamala Harris mencatat sejarah menjadi perempuan pertama menjadi Naib Presiden AS. Pada asalnya, wanita berusia 55 tahun itu adalah pencabar kepada Biden untuk menjadi calon Presiden AS daripada parti Demokrat, bagaimanapun beliau tewas.

Biden yang berjiwa besar mengajak Kamala menjadi regunya untuk jawatan Naib Presiden.

Selepas Biden disahkan menang, Kamala dalam Twitter memuatkan video beliau menghubungi Biden dengan berkata, ‘’Kita berjaya Joe. Anda akan menjadi Presiden Amerika Syarikat seterusnya.’’.

Sementara itu, Rudy Giuliani yang merupakan peguam dan sahabat karib Trump mendakwa, ada pengundi Philadelphia, Pennsylvania yang telah meninggal dunia dimasukkan dalam senarai pemilihan.

Beliau tidak mengemukakan sebarang bukti tetapi menuduh Trump kalah kerana berlaku penipuan.

Trump pula meneruskan keangkuhannya dengan melontarkan pelbagai tuduhan tanpa bukti melalui akaun Twitternya termasuklah mendakwa terdapat undi tidak sah yang tiba pada hari pemilihan di Pennyslvania sehingga mengatasi jumlah undi yang diterimanya.

Secara keseluruhannya jumlah pengundi yang mengundi dalam pilihan raya Presiden AS kali ini merupakan paling tinggi dalam tempoh 120 tahun negara kuasa besar tersebut iaitu 66.9 peratus. – ZULKIFLEE BAKAR

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan