34.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Semua sekolah, Kolej Vokasional ditutup esok

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan hari ini mengumumkan semua sekolah termasuk Kolej Vokasional ditutup bermula 9 November hingga hari akhir persekolahan iaitu 17 dan 18  Disember ini.

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin berkata, langkah itu dibuat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang.

Menurutnya, bagi sekolah Kumpulan A, sesi persekolahan akan ditutup sehingga 17 Disember dan 18 Disember bagi negeri Kumpulan B sebagai usaha membantu kerajaan memutuskan jangkitan Covid-19.


“Penggal persekolahan tahun 2021 akan bermula pada 20 Januari dan murid sekolah rendah akan memulakan sesi pembelajaran pada tarikh itu.

“Bagi sekolah menengah dan Kolej Vokasional juga akan memulakan pengajian pada tarikh yang sama,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dr Radzi berkata,  sepanjang tempoh penutupan tersebut, pengajaran dan pembelajaran akan tetap diteruskan secara Home-based Learning mengikut kesesuaian guru dan murid.

Ujarnya, bagi murid yang tinggal di asrama pula, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil mereka untuk pulang ke rumah masing-masing dan mereka boleh terus kekal berada di asrama sementara menunggu untuk diambil oleh ibu bapa atau penjaga.


 “Sepertimana Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021 yang diumumkan sebelum ini, penggal persekolahan akan bermula pada 20 Januari 2021 dan semua murid sekolah rendah dan pelajar Tingkatan 1, Tingkatan 4, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 serta pelajar Kolej Vokasional akan memulakan persekolahan secara bersemuka pada tarikh yang sama.

Advertisements

“Pelajar Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 akan memulakan sesi persekolahan pada tarikh yang sama tetapi secara Home-based Learning mengikut kesesuaian guru dan murid. Mereka akan kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac 2021,” katanya.

Sementara itu, Dr Radzi berkata, peperiksaan SPM/SVM/STAM akan bermula pada 22 Februari 2021 manakala, peperiksaan STPM pula akan bermula pada 8 Mac 2021. 

Katanya, semua ketetapan ini juga terpakai kepada sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM. Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk mengikuti ketetapan ini.

“Penjadualan semula peperiksaan awam ini tidak akan menjejaskan kemasukan murid ke institusi peringkat tertiari awam serta kemasukan murid ke institusi pengajian tinggi awam melalui sistem UPUOnline yang dikendalikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), ” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Radzi berkata, bagi pelajar Program Matrikulasi KPM dan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG), mereka akan meneruskan pembelajaran secara dalam talian sepenuhnya dan melakukan ulang kaji kendiri sehingga 31 Disember 2020.

Beliau menambah, pelajar Program Matrikulasi KPM akan kembali semula ke kolej dan meneruskan program pada 4 Januari 2021. 

“Ujian Malaysian University English Test (MUET) untuk pelajar matrikulasi yang dijadualkan pada 8 hingga 19 Disember 2020 akan ditangguhkan ke tahun 2021,” jelas beliau.

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan