MEKAH – Sebanyak 125,000 jemaah domestik menunaikan ibadah umrah setakat ini sejak 27 September dan tiada kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan jemaah itu.
Menteri Haji dan Umrah, Dr Muhammad Benten berkata, mengurangkan atau meningkatkan angka jemaah dikaitkan dengan laporan harian yang dibuat pihak berkuasa berkelayakan.
“Semua jemaah, umat Islam, pengunjung dan pekerja perlu mematuhi kesemua langkah pencegahan kesihatan dan mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa,” katanya, semalam.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam seminar bertajuk “Umrah antara memudahkan prosedur dan pencegahan ketat anjuran kementeriannya secara maya.
“Pematuhan jemaah, umat Islam dan pengunjung terhadap langkah berjaga-jaga dan kesihatan serta arahan ketua kumpulan umrah termasuk pegawai menyumbang kepada kebenaran umrah dan salat di dua masjid suci termasuk Rawdah Sharif diteruskan tanpa mencatatkan sebarang kes kecemasan,” katanya.
Berdasarkan statistik semasa dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah, sebanyak 1.2 juta jemaah telah berdaftar dengan aplikasi Umrah, Etmarna dalam tempoh 27 September hingga 27 Oktober bagi menunaikan ibadah umrah.
Kementerian memulakan fasa kedua kebenaran umrah berperingkat dan ziarah ke dua masjid suci bermula Ahad, 18 Oktober.
Pihak berkuasa mengumumkan, lebih 600,000 jemaah dibenarkan menunaikan solat di Masjidilharam bersama 250,000 jemaah umrah sepanjang fasa kedua yang tamat pada 31 Oktober.