26 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Kukuhkan MN demi ummah, usah terganggu ‘bisikan syaitan’

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

UMNO dan Pas akhirnya bersetuju untuk mendaftarkan secara rasmi Muafakat Nasional (MN) dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

Langkah itu dilakukan selepas 13 bulan kedua-dua parti tersebut menandatangani Piagam Penyatuan Ummah di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) 14 September tahun lalu.

Setiausaha Agung 1 dan II gabungan itu, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataan bersama berkata, ‘’kepemimpinan MN sudah bersepakat secara bersama serta memberi komitmen untuk terus memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara parti sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.’’

Sudah tentulah keputusan ini akan disambut dengan perasaan gembira dan penuh kesyukuran oleh ahli-ahli UMNO serta Pas. Namun kita jangan lupa, tidak semua kelompok gembira dengan penyatuan dua parti terbesar orang Melayu itu.

Walaupun mereka juga orang Melayu tetapi disebabkan kebencian politik mendalam, mereka berasa gelisah kerana langkah tersebut akan memperkukuhkan kuasa politik kedua-dua parti itu.

Justeru mereka tidak akan berhenti untuk membuat komen-komen yang bertujuan memburukkan muafakat tersebut dan tidak mustahil berusaha memecah belahkannya.

Tetapi UMNO dan Pas tidak seharusnya tergugat dengan mereka yang ‘melakukan kerja-kerja syaitan’ itu. Bukankah syaitan itu tidak suka orang melakukan kebaikan apatah dalam soal penyatuan umat Islam?

Firman Allah SWT;

“Dan katakanlah kepada hamba-hambaKu: Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesunguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.” (Surah al-Isra’: 53).

Sementara UMNO dan Pas perlu berhati-hati dengan kelompok berkenaan tetapi pada masa sama, usaha harus dilakukan supaya tidak ada ruang atau peluang untuk ‘bisikan syaitan’ bertebaran sehingga menghuru-harakan muafakat berkenaan.

Advertisements

Apapun perbezaan perlu diselesaikan di meja rundingan bukannya terpekik terlolong dalam media yang akan memungkinkan berlaku ‘hasutan syaitan’ .

Kita faham di sesetengah negeri, hubungan antara UMNO dan Pas masih lagi ada sedikit sebanyak masalah, namun sebagai umat Islam yang cintakan perdamaian, kita berharap ia akan diselesaikan dengan semangat persaudaraan dan permuafakatan.

Jika semua yang terlibat ikhlas untuk bersepakat, insha-Allah tidak akan ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Masalahnya, jika ada yang mahu berkeras, mahu mempertahankan ego masing-masing dan tidak jujur dalam permuafakatan kerana memikirkan untung rugi dari segi politik.

Inilah yang akan memungkinkan ia mewujudkan suasana tidak tenang dalam muafakat berkenaan. Oleh itu berikutan langkah mendaftar secara rasmi MN, maka semua yang terlibat perlu sepakat. Jika ada masalah selesai secara muafakat, pasti ia akan membawa berkat.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Awang ketika membantu Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang bertanding di PRK DUN Rantau, tidak lama dulu.

Beberapa kejayaan dalam pilihan raya kecil yang diadakan telah membuktikan betapa ampuhnya kekuatan politik orang Melayu apabila dua parti terbesar orang Melayu itu bersatu, tetapi mereka tidak boleh angkuh, misi untuk memastikan pertembungan satu lawan satu dalam PRU-15 harus diteruskan dengan merangkul parti Melayu lain termasuklah Bersatu.

Bersatu juga parti Melayu, dianggotai oleh orang Melayu. Rangkul mereka bersama supaya ia tidak membuka ruang kepada kelompok yang menjalankan ‘kerja-kerja syaitan’ memecah belahkan kesepakatan yang wujud dalam Perikatan Nasional.

Tetapi janganlah pula yang ada mahu menjadi ‘abang besar’ atau membuat percaturan politik sendiri sehingga boleh menggugat ketenteraman dalam MN. Khabarnya itu yang berlaku dalam PN.

Selain itu, sama ada pemimpin UMNO dan Pas juga yang sudah mengikat perjanjian dalam MN berpeganglah semangat permuafatan yang dibuat. Jangan ada antara mereka yang cuba ‘bermain kayu tiga’ apabila berpakat dengan pihak lawan semata-mata untuk kepentingan peribadi.

Apapun keputusan yang hendak dibuat, apapun tindakan yang mahu dilakukan biarlah ia diputuskan oleh barisan kepemimpinan MN dan bukannya dibuat secara sendirian.

Kesimpulannya, penulis percaya dengan permuafakatan UMNO dan Pas, diperkuatkan pula oleh persaudaraan daripada parti Bersatu, kuasa politik Melayu akan mampu diperkukuhkan semula.

Kalau ada yang mahu menggugat permuafakatan ummah ini, biarkan sahaja mereka mahu menjalankan ‘kerja-kerja syaitan’ tersebut, Inshaallah selagi niat kita baik demi kepentingan ummah, demi kesejahteraan rakyat dan negara, Allah SWT pasti memberkatinya. – ZULKIFLEE BAKAR

Advertisements

Terkini

Pemuda UMNO gesa ‘haramkan’ Prof Gilley masuk Malaysia

PEMUDA UMNO Malaysia hari ini mendesak kerajaan mengharamkan seorang ahli akademik pro-zionis Israel, Bruce Gilley daripada memasuki negara ini. Ketuanya,...

Lagi Artikel Berkaitan