25.6 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Nak tolak Bajet? Jangan cari pasal dengan rakyat

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9


SEMBANG BERSAMA TAN SRI (2)

MUKADIMAH:

DALAM siri pertama Sembang Bersama Tan Sri semalam, ahli perniagaan ternama itu memberi pandangan mengenai usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Beliau mempersoalkan, dalam keadaan sesetengah parti beria-ia mahu membawa usul itu, adakah mereka boleh menamakan pengganti Tan Sri Muhyiddin Yassin?

‘Tan Sri’ yang akan berusia 70 tahun pada tahun depan itu menganggap apa yang mahu dilakukan oleh parti-parti berkenaan hanya bermotif politik apatah lagi dalam keadaan Muhyiddin setakat ini sudah menjalankan tugas dengan baik khususnya bagi menangani pandemik Covid-19.

BAHAGIAN KEDUA pula akan memaparkan pandangan ‘Tan Sri’, apa akan berlaku jika ada parti atau ahli Parlimen mahu menolak Bajet 2021 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November ini, di Dewan Rakyat.

Ketika bercakap isu ini, ‘Tan Sri’ yang sudah lebih 40 tahun terlibat dalam dunia perniagaan itu dengan nada tegas menyifatkan, mereka yang berniat menolak Bajet 2021 sebagai ‘bodoh’ kerana ia akan menyebabkan rakyat sengsara.

‘’Tetapi rakyat akan bertindak balas dengan memastikan parti atau ahli Parlimen terlibat kalah dalam pilihan raya,’’ kata beliau.

Berikut pandangan ‘Tan Sri’ yang dilontarkan beliau dalam pertemuan hampir 2 jam dengan penulis di sebuah restoran capati terkenal di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, pada Ahad lalu;

Kalau ada ahli Parlimen atau parti politik yang gagal dalam membentangkan usul tidak percaya kepada Muhyiddin mahu bertindak balas dengan menolak Bajet 2021, saya anggap itu kerja bodoh, sebab rakyat tengah susah, kerajaan bentang bajet nak tolong rakyat, kenapa nak tolak pulak?

Bagi saya, tindakan ahli politik itu hanya akan bawa petaka politik kat mereka, sebab rakyat akan marah dan akan tolak mereka dalam pilihan raya.

Bajet bukan soal politik tetapi bajet agenda nak tolong rakyat, nak bangunkan negara, duit bajet nak bayar gaji penjawat wang, duit bajet nak bagi peruntukan kat sekolah-sekolah, duit bajet nak bantu peniaga-peniaga – kenapa nak tolak bajet hanya sebab ada masalah politik dengan Perdana Menteri?

Kalau bajet tak lulus, apa akan berlaku? Negara akan terjejas, berjuta penjawat awam tak dapat gaji, sekolah tak boleh bayar elektrik, bantuan kat rakyat tak boleh beri, kerajaan tak boleh nak tolong peniaga, orang miskin. Kalau itu terjadi ahli Parlimen atau parti politik yang tolak tu, nak jawab apa kat rakyat?

Bila rakyat sengsara, mereka akan pastikan parti-parti, ahli Parlimen yang buat tu kalah dalam pilihan raya. Dah la sekarang rakyat susah sebab Covid-19, tak kan nak bagi mereka lagi susah jika bajet tak lulus.

Rakyat bawah tak faham soal PM ada majoriti atau tidak, rakyat tak kisah sapapun nak jadi PM, rakyat hanya mahu kerajaan bantu mereka termasuklah melalui bajet.

Jadi bagi saya, kalau ada parti politik atau ahli Parlimen yang ‘ugut’ nak tolak bajet, itu kerja bodoh dan sengaja cari pasal dengan rakyat.

Bila penjawat awam tak dapat gaji, elektrik kat sekolah kena potong, rakyat susah tak ada duit…petakalah kepada parti yang buat benda itu.

Pasal apa…bila gagal nak jatuhkan PM guna usul tak berjaya, bajet pula nak dipolitikkan? Semua itu tak masuk akal, mengarut.

Ahli Parlimen boleh la mereka ada duit, hidup senang… tapi rakyat macam mana kalau bajet tak lulus? Penjawat awam nak makan apa, peniaga, orang kampung, budak sekolah, budak kat universiti… nak jadi apa… kalau tak ada bajet?

Bila rakyat susah, bila penjawat awam sengsara, bila ada orang kampung tak boleh makan… ahli politik ingat dia orang akan akan diam? Tunggulah pilihan raya, hancur parti yang tolak bajet ni. Kalau tak percaya buat lah…

ESOK : Kemelut politik dan kebijaksanaan Agong

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan