Thursday, July 23, 2026

PM arah siasatan segera, berkas dalang serang polis

Keganasan yang disemai melalui hasutan, kebencian dan maklumat palsu tidak boleh sama sekali dibiarkan berakar dalam masyarakat - Anwar Ibrahim

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa untuk segera menjalankan siasatan dan memberkas dalang dan penyerang pihak polis yang sedang bertugas ketika operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru, ibu negara hari ini.

Beliau berkata, kerajaan hormat hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pendirian serta dibuktikan dengan konsisten melibatkan pelbagai himpunan sebelum ini. 

Bagaimanapun, tegas beliau, prinsip kebebasan juga menuntut kita untuk bertanggungjawab dan mesti patuh tunduk pada hukum, adab dan undang-undang. 

“Berhimpun secara aman mesti tidak harus disalah guna untuk kepentingan politik sempit dan mencetuskan suasana tidak tenteram di kalangan rakyat. 

“Keganasan yang disemai melalui hasutan, kebencian dan maklumat palsu tidak boleh sama sekali dibiarkan berakar dalam masyarakat,” katanya hari ini.

Anwar berkata, insiden menyerang sehingga mencederakan penjawat awam yakni Ketua Polis Daerah Dang Wangi oleh pihak berkepentingan dan tidak bertanggungjawab adalah perbuatan keji dan mesti dikecam.

Dalam kejadian hari ini, Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman cedera ketika mengawal keadaan sewaktu operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru tersebut.

Menurut laporan media, Suzilme Affendy cedera susulan kekecohan akibat rempuhan penduduk yang mendesak untuk masuk ke kawasan operasi.

Terdahulu, operasi pengosongan bangunan kecoh seketika apabila penduduk mula mendesak pihak berkuasa membenarkan mereka masuk ke kawasan perumahan berkenaan.

Operasi berkenaan dilaporkan diketuai oleh bailif mahkamah dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan.

Tindakan itu diambil susulan arahan mahkamah bagi melaksanakan proses perobohan struktur rumah di kawasan berkenaan. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan