KEMENTERIAN Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) membatalkan lesen syarikat Al Quds Umrah & Tours (M) Sdn Bhd kerana melanggar peruntukan undang-undang serius.
Pesuruhjaya Pelancongan MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman berkata, pembatalan syarikat dengan nombor pendaftaran 199501035815 (365017-P)] dan lesen bernombor 3017 berkuat kuasa mulai 24 Januari lalul.
Dalam kenyataan ringkas beliau hari ini, Roslan berkata, pembatalan lesen tersebut dibuat di bawah Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].
“Adalah dimaklumkan selaras dengan Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482], Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah memutuskan untuk membatalkan lesen syarikat Al Quds Umrah & Tours (M) Sdn. Bhd. 199501035815 (365017-P) dengan nombor lesen 3017 berkuat kuasa mulai 24 Januari 2025.
“Kementerian ini memandang serius sebarang pelanggaran
peruntukan undang-undang oleh pengusahaan pelancongan berlesen demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.
MOTAC sebelum ini mengambil tindakan menggantung lesen syarikat terbabit berkuat kuasa 9 Julai 2024 sehingga 19 Januari 2025.
Penggantungan lesen syarikat itu selaras dengan Akta 482 di bawah perenggan 8(1)(a), 8(1)(b), 8(1)(d) dan 8(1)(g).
“Dalam tempoh penggantungan lesen ini berkuat kuasa, Syarikat tidak boleh mengurusniagakan apa-apa perniagaan baharu.
“Syarikat dikehendaki dengan serta-merta mengembalikan apa-apa jua wang yang telah dibayar oleh klien itu berkenaan dengan tempahan itu dan tidak mengenakan apa-apa fee pengkenselan.
Sekiranya didapati Syarikat melanggar syarat ini, tindakan pembatalan lesen boleh diambil dan / atau tiada pembaharuan lesen akan dibenarkan setelah tamat tempoh lesen,” kata kenyataan MOTAC November tahun lalu. – Edisi 9

