26.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Mahathir, berhati-hatilah pertikai pelantikan Muhyiddin

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

MENYAMPAH, muak dan bosan. Itulah perasaan majoriti rakyat apabila membaca kenyataan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang terus menggunakan istilah ‘pintu belakang’, ‘tebuk atap’ apabila memperkatakan mengenai Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut ‘tumpang semangkuk’ untuk memburuk-burukkan Kerajaan PN ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pada Jumaat lepas pada sidang medianya, bekas Perdana Menteri berusia 95 tahun itu berkata, Muhyiddin tidak ada majoriti ketika mengangkat angkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Sebaliknya beliau mendakwa, PH yang ada majoriti kerana terdapat 114 ahli Dewan Rakyat yang menandatangani akuan bersumpah (menyokong beliau menjadi PM). Apa mesej yang Mahathir mahu sampaikan kepada media-media antarabangsa yang hadir pada sidang akhbar tersebut?

Perlu diingat, Muhyiddin mengangkat sumpah bukan seperti mana kawan-kawan Mahathir dalam DAP mengadakan sidang DUN Perak di bawah pokok satu ketika dulu.

Muhyiddin mengangkat sumpah di Istana Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Apa yang paling penting Seri Paduka membuat keputusan melantik Muhyiddin selepas percaya Ahli Parlimen Pagoh itu mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Tatacara atau proses pemilihan dan keputusan itu telah diperjelaskan oleh Seri Paduka ketika pembukaan sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Kalau Mahathir lupa titah Seri Paduka pada hari berkenaan sebab terlalu sibuk memikirkan strategi bagaimana mahu menjatuhkan Muhyiddin, berikut penulis papar kembali antara isi kandungan titah Seri Paduka ketika itu;

“Pada 24 Februari 2020 yang lalu; neratif lanskap politik negara telah sekali lagi digegarkan menerusi peletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh.

Sekitar jam 5.00 petang pada hari yang sama; beta telah berkenan menerima menghadap Yang Berhormat Tun Dr Mahathir bin Mohammad.

Dalam pertemuan tersebut; beta telah meminta Yang Berhormat Tun Dr Mahathir Mohammad untuk tidak meletak jawatan. Namun beliau tetap dengan keputusannya.

Oleh yang demikin; beta bertanggungjawab untuk melantik seorang Perdana Menteri yang baharu seperti mana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 43 memberi kuasa budi bicara kepada beta untuk melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat beta mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Lantaran itu; pada 25 dan 26 Februari 2020; beta telah mengadakan sesi pertemuan secara berseorangan dengan Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk menilai sendiri sokongan kepercayaan mereka.

Pada 29 Februari 2020; beta telah menitahkan semua parti-parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama seorang Ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri.

Atas permintaan beberapa ketua parti politik ; beta telah berkenan pula untuk melanjutkan tempoh masa bagi parti-parti politik mengemukakan pencalonan mereka agar masa yang cukup diberikan dalam mereka membuat perhitungan secara demokrasi.

Sudah tentu setiap pertandingan pasti akan ada penamatnya. Kemelut politik negara tidak boleh dibiarkan berlarutan dan berpanjangan dengan tanpa ada penghujungnya.

Lantaran itu; setelah melalui semua proses tersebut; dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan; beta telah mendapati Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Haji Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan dengan demikian selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-8.

Advertisements

Sesungguhnya; Beta telah menggalas amanah dengan telus dan adil selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang menjadi tunjang amalan negara kita.

Pada masa yang sama; beta juga menghargai kematangan dan kerjasama semua ahli-ahli Yang Berhormat dan rakyat jelata yang telah memainkan peranan dengan penuh berhemah dan beretika sehingga membolehkan beta menggalas amanah ini.’’

Titah Al-Sultan Abdullah itu membuktikan Seri Paduka telah menggunakan segala kebijaksanaan Seri Paduka untuk membuat keputusan.

Seri Paduka melakukan proses pemilihan Perdana Menteri Ke-8 dengan penuh berhati-hati, tertib dan berdasarkan peruntukan Perlembagaan.

Sebagai seorang individu yang dua kali menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan 22 bulan serta berhasrat untuk menduduki lagi jawatan itu buat kali ketiga, sudah pasti Mahathir mengetahui bahawa Seri Paduka sudah menjalankan tugas dengan sebaik mungkin dan penuh keadilan.

Tetapi malangnya kerana keputusan tidak menyebelahi beliau dan puak-puak maka sehingga ke hari ini beliau masih bercakap soal Muhyiddin tidak mempunyai sokongan majoriti ketika mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Kita faham Mahathir mungkin kecewa kerana tidak dapat menjadi Perdana Menteri untuk kali ketiga tetapi janganlah terus membuat kenyataan yang boleh ditafsirkan oleh pelbagai pihak tidak menghormati dan mempertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong.

Kalau Mahathir tidak bermaksud demikian, beliau perlu berhenti daripada bercakap soal jumlah sokongan Muhyiddin ketika mengangkat sumpah.

Sebagai tokoh yang dilihat lebih berpengaruh daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembangkang, beliau juga harus menasihatkan pemimpin-pemimpin PH supaya jangan bersikap biadab apabila terus menggunakan istilah ‘tebuk atap’ dan ‘pintu belakang’ kerana pembentukan kerajaan ini diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan semua anggota Kabinet mengangkat sumpah di hadapan Seri Paduka.

Mahathir perlu ingat kalau mahu menggunakan istilah ‘tebuk atap’, tidakkah beliau yang boleh dianggap bertanggungjawab melakukan perbuatan itu apabila salah strategi dengan meletakkan jawatan Perdana Menteri sehingga Kerajaan PH tumbang?

Tidakkah beliau yang ‘membuka pintu belakang’ apabila mahu membentuk Kabinet Perpaduan yang turut ditolak oleh PKR, DAP dan Amanah serta Bersatu.

Kenapa mahu menggunakan ‘pintu belakang’ untuk menjemput orang lain menyertai Kabinet sedangkan Mahathir begitu bangga apabila PH berjaya menumbangkan BN sehingga mereka boleh membentuk kerajaan dan melantik anggota Kabinet daripada pakatan tersebut?

Cukuplah hentikan hujah-hujah politik yang dari semasa ke semasa semakin mendedahkan Mahathir kepada kebencian rakyat.

Kalau betul PH mempunyai jumlah sokongan majoriti dan yakin rakyat masih bersama mereka sepertimana PRU-14, desak sahaja pembubaran Parlimen, tidak payah memberi alasan, kononnya jumlah sokongan ‘datang dan menghilang’ kerana Ahli Parlimen ditawarkan macam-macam untuk menyebelahi PN.

Lebih baik Mahathir duduk diam-diam dan biarkan sahaja Muhyiddin memimpin. Teruskan beri teguran bukan kecaman, sampaikan nasihat secara berhemah bukannya dengan memfitnah.

Apapun mungkin disebabkan perbezaan politik Mahathir dan pemimpin-pemimpin PH boleh sahaja berbuat atau berkata apa sahaja ke atas kerajaan Muhyiddin, tetapi berhati-hatilah dalam berhujah kerana bimbang jika terlajak kata, ia akan dilihat biadab kepada institusi raja-raja.

Semoga ini tidak berlaku.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan