KUALA LUMPUR – Parti PUTRA dan pertubuhan bukan kerajaan, Perkasa terus mendesak kerajaan mewujudkan akta baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, penggubalan akta itu penting bagi mempertahankan institusi raja-raja dan agama Islam yang sering menjadi sasaran sikap biadab kelompok yang tidak menghormati prinsip, ‘Di mana bumi dipijak, di situ lagi dijunjung’.
Berikut kenyataan penuh Ibrahim sempena Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, esok:
Tanggal 8 Jun 2020 ini adalah Sambutan Hari Keputeraan Rasmi DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong XVI Parti Putra dan NGO Perkasa merafak sembah menjunjung duli melafazkan ikrar taat setia dan menjunjung kasih kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan DYMM Raja Permaisuri Agong dengan iringan doa:
“Ya Allah Lanjutkan Usia Tuanku dan Permaisuri dengan kesihatan yang berpanjangan serta berdaulat bersemayam di atas singgahsana dengan penuh keberkatan. Insha-Allah.”
DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong adalah Ketua Negara, Payung Negara dan Lambang Perpaduan Seluruh Rakyat Malaysia.
Menjadi kewajipan seluruh rakyat memberi taat setia yang tidak berbelah bahagi sesuai dan selaras dengan asas Perlembagaan Negara di bawah Fasal 153, Kedaulatan Raja dan Prinsip Rukun Negara iaitu Kesetian kepada Raja dan Negara.
Mutakhir ini semenjak ledakan teknologi maklumat dan percambahan media sosial serta perubahan landskap politik negara, tidak sedikit timbul isu-isu penghinaan terhadap raja-raja Melayu dan institusi raja-raja dengan cemuhan, kata-kata kesat, penghinaan dan mempersoalkan fungsi serta peranan institusi raja berperlembagaan.
Maka NGO Perkasa selama hampir 11 tahun menongkah arus mempertahankan maruah institusi raja-raja Melayu dengan bersusun-susun laporan polis, usul dan berbagai resolusi bagi memperkasakan kembali institusi diraja akibat daripada sikap biadab, kurang ajar sesetengah pihak yang tidak menghormati prinsip ‘di mana bumi di pijak, di situ langit dijunjung.
Semua kedurjanaan ini berlaku kerana Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah dimansuhkan kerana ada pihak tidak berasa takut lagi dan pihak polis tidak ada lagi alat pencegahan seperti Akta ISA.
Maka sebablah itu Parti PUTRA dan Perkasa mendesak melalui resolusi sebelum ini dan dimuktamadkan dalam 10 Sumpah Keramat PUTRA bahawasanya wajib diwujudkan akta baharu yang dinamakan Akta Anti Islam dan Raja atau Akta Kedaulatan Islam dan institusi raja-raja yang menggunakan modus operandi seperti Akta ISA.
Tahanan Reman Tanpa Perintah 30 hari untuk siasatan dan Tahanan Tanpa Bicara 2 tahun serta seterusnya. Ia juga termasuk hukuman mandatori rotan dan penjara yang mana didakwa di mahkamah.
Cadangan ini sudah pun dikemukakan kepada jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja Melayu yang dipengerusikan oleh Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid. Sudah berbulan-bulan lamanya dan tidak ada khabar berita. Doa semoga mendapat perhatian Majlis Raja-Raja dan kerajaan.
AMPUN TUANKU
DAULAT TUANKU
DAULAT TUANKU
DAULAT TUANKU