33 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Pembangunan ekonomi di Terengganu makin maju

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PEMBANGUNAN ekonomi di Negeri Terengganu dilihat telah semakin maju dan hanya bidang-bidang tertentu sahaja perlu diberi perhatian bagi merancakkan lagi agenda pelaburan.

Perkara itu dinyatakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas sesi pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman sebagai Penasihat Kehormat kepada empat negeri (SG4).

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, sebenarnya Terengganu sudah banyak maju.

“Saya juga telah ditunjukkan pelan-pelan kemajuan negeri. Buat masa ini banyak kerja-kerja sudah dilaksana, jadi tidaklah banyak saya perlu bantu, kecuali bidang-bidang tertentu selain dari yang sedia ada.

“Bagaimanapun, saya bangga kerana ada pengusaha Melayu yang guna cara moden mengeluarkan produk barangan makanan untuk eksport ke Australia, Singapura, Korea Selatan, Jepun, Saudi, Ireland dan lain-lain.

“Penggunaan mesin boleh percepat dan perbanyakkan produk mereka di samping menjaga konsistensi sesuatu produk.

“Semalam, saya berpeluang melawat dua syarikat perusahaan makanan di Kuala Terengganu semasa lawatan kerja saya ke Terengganu sebagai Penasihat Kehormat kepada empat negeri (SG4).

“AdeqSue – menyediakan makanan siap masak dalam bentuk pek (package), dan Muslim Food Industries – keluarkan makanan seperti bihun, mee, laksa, kuetiau, bebola ikan dan lain-lain.

“Kedua-dua perusahaan ini menggunakan jentera mesin yang boleh hasilkan pengeluaran dalam jumlah besar dan memenuhi permintaan.

“Kedua-dua ini antara contoh baik yang boleh dijadi panduan kepada pengusaha lain yang berminat dalam bidang sebegini,”katanya.

Advertisements

Beliau berkata, industri pembuatan dan pembungkusan seperti ini mempunyai permintaan harian kerana barang makanan biasanya diperlukan setiap hari.

Selain itu, katanya, perusahaan ini juga memerlukan pengurusan logistik yang cekap bagi menentukan ianya sampai ke pasaran.

“Apabila sesuatu industri diadakan, ianya membuka peluang kerja kepada orang tempatan dan sekeliling.

Tun Dr Mahathir sempat membuat lawatan ke kilang dua usahawan makanan tempatan Adeqsue dan Muslim Food di Kuala Terengganu.

“Selain itu, keperluan logistik menghantar produk itu tadi juga adalah peluang kerja kerana kenderaan memerlukan pengendali seperti kelindan dan pemandu.

“Ini sahaja sudah beri pendapatan kepada orang tempatan dan kitaran ekonomi berlaku secara tidak langsung.

“Selain peluang kerja, saya dapati perusahaan seperti ini mengajar peniaga bagaimana membekal mengikut permintaan.

“Jika kita masak secara manual dalam jumlah sedikit, ini sekadar memenuhi permintaan sekeliling kita sahaja.

“Tetapi jika kita guna mesin atau jentera dan adaptasi kaedah pengeluaran secara besar-besaran, bukan sahaja permintaan sekeliling boleh dipenuhi malah permintaan di luar kawasan termasuk di luar negara juga kita mampu penuhi dan kuasai.

“Kita perlu hantar barangan kita ke negara-negara lain, jadi pasaran bukan lagi sekadar di kampung atau dalam negara tetapi terus ke peringkat antarabangsa,”katanya.

Dalam sesi lawatan yang sama, beliau turut singgah ziarah ke kediaman Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Rusila, Marang. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

In Saff Travel tawar pakej umrah serendah RM4970

BERUSAHA memberikan yang terbaik terhadap pelanggannya, syarikat pengendali pakej umrah, In Saff Travel & Tours Sdn Bhd menampilkan pakej...

Lagi Artikel Berkaitan