DUA penerjun wanita Terengganu yang memenangi gangsa dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak baru-baru ini akan meneruskan latihan di Sekolah Sukan Malaysia di bawah seliaan kerajaan Persekutuan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, malahan kedua-dua penerjun muda itu juga dipertimbang menyertai program pelapis tahun hadapan sekiranya menunjukkan peningkatan prestasi dalam beberapa kejohanan akan datang.
Beliau berkata, pihaknya percaya bakat kedua penerjun tersebut, Ilyssa Ixora Imran dan Uzlifatil Jannah Ashraf akan terus dapat dikembangkan sebelum terpilih memasuki program di peringkat kebangsaan.
“Pengarah teknikal kebangsaan sukan terjun Bryan Nickson telah mengenal pasti penerjun ini untuk dipertimbangkan memasuki program pelapis kebangsaan pada tahun hadapan sekiranya terus menunjukkan peningkatan prestasi di beberapa kejohanan akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ilyssa Ixora dan Uzlifatil Jannah mencetuskan kontroversi baru-baru ini apabila mereka menyertai acara terjun Sukma Sarawak walaupun kerajaan negeri Terengganu melarang atlet wanita beragama Islam menyertai acara yang mendedahkan aurat.
Bagaimanapun, mereka berjaya menyumbang pingat gangsa dalam acara 10 meter platform seirama buat Terengganu dalam kejohanan tersebut.
Sementara itu Hannah melahirkan kebimbangan kementeriannya berhubung tindakan kerajaan Terengganu tidak membenarkan penglibatan atlet wanita dalam sukan tertentu.
Ini kerana, beliau berkata, dikhuatiri akan merencatkan potensi ramai atlet muda yang terbukti mempunyai bakat, serta memberikan impak negatif kepada pembangunan sukan negara secara keseluruhannya.
Pada masa sama beliau berharap kerajaan Terenganu tidak mendiskriminasikan pemberian insentif kemenangan kepada kedua-dua penerjun tersebut.
Ini kerana memandangkan mereka juga telah menyumbang pingat kepada Kontinjen Negeri Terengganu.
“Untuk makluman semua, setiap peserta yang mewakili negeri di Sukma perlu melalui proses pendaftaran yang dipersetujui oleh Majlis Sukan Negeri tertentu,” katanya. – Edisi 9