BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merasakan kesedihan yang tidak terhingga ekoran kehilangan sahabat seperjuangannya, Tun Daim Zainuddin pagi ini.
Perdana menteri keempat dan ketujuh menzahirkan perasaannya itu menerusi satu catatan yang dimuatkan menerusi media sosialnya.
Veteran politik itu berkata, apa yang paling menyedihkan beliau apabila Daim yang juga bekas Menteri Kewangan diherdik tanpa sebab di akhir hayatnya.
Berikut coretan Mahathir:
- Daim meninggal dunia pagi ini.
- Saya kehilangan sahabat yang bersama saya berjuang untuk bangsa, negara dan agama.
- Saya sedih tidak terhingga.
- Sepatutnya dia disanjung kerana sumbangannya kepada perjuangan
- Tetapi di akhir hayatnya dia diherdik tanpa sebab.
- Tanpa sebab! Kerana dendam.
- Ya Allah. Adililah Daim berasas keadilan.
- Berilah tempat kepadanya di akhirat sebagai pejuang bangsa.
- Saya hanya mampu berdoa. Akan kita bersama kembali di masa tertentu. Amin, Ya Rabbal Alamin.
Januari lalu, Daim, 86, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan 70 aset hartanya dan satu bank akaun, Disember tahun lalu.
Bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 8 November 2023.
Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada 13 Disember 2023.
Harta itu membabitkan aset antaranya akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar serta Rolls Royce, 38 syarikat dan 25 hartanah/ tanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang iaitu:
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Daim berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali, iaitu 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran Mahathir yang mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Allahyarham kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Mahathir untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia.
Selain menceburi politik, beliau juga merupakan seorang tokoh korporat yang berjaya.
Daim disahkan meninggal dunia awal pada pukul 8.21 pagi ini di Hospital Assunta, Petaling Jaya.
Menurut peguamnya, Gurdial Singh Nijar, Allahyarham sebelum ini mengalami strok dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital tersebut. – Edisi 9