BEKAS Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin meninggal dunia pada pukul 8.21 pagi ini di Hospital Assunta, Petaling Jaya pada usia 86 tahun.
Allahyarham dikejarkan ke hospital tersebut baru-baru ini akibat terkena serangan strok dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Berita kematian Daim yang juga tokoh korporat berjaya disahkan oleh peguamnya Gurdial Singh Nijar kepada media.
“Ya. Benar dia meninggal dunia. Dia mengalami strok baru-baru ini dan diletakkan di unit rawatan rapi (ICU). Belum ada maklumat lanjut,” katanya seperti dilapor BH.
Sementara itu Astro Awani melaporkan, jenazah Allahyarham dibawa ke kediamannya di Bukit Tunku, Kuala Lumpur kira-kira 11 pagi tadi.
Manakala solat jenazah akan diadakan di Masjid Wilayah, Jalan Duta selepas asar dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Daim berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali iaitu dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Allahyarham kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Mahathir untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia. – Edisi 9