26.6 C
Kuala Lumpur
Monday, December 2, 2024

Antara T15 dan si mahakaya: Siapa hilang kelayakan subsidi?

Mesti Baca

Oleh DR MUHAMMAD ASHRAF KHALID

BARU-BARU ini rancak perbincangan ‘T15-Mahakaya’ sejak ucapan Belanjawan 2025 dibacakan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, 18 Oktober di Dewan Rakyat.

Dikhabarkan bahawa kerajaan telah menampung subsidi insentif dan bantuan mencecah RM80 bilion pada tahun lalu. Justeru menjadi hasrat kerajaan untuk melaksanakan reformasi fiskal pada tahun hadapan antara lain melalui penyasaran subsidi petrol RON95, subsidi pendidikan dan subsidi kesihatan.

David Coady dan pasukannya di Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada tahun 2010 mendedahkan bahawa lebih 40 peratus subsidi petrol dimanfaatkan golongan berpendapatan 20 peratus teratas di negara-negara pendapatan rendah dan membangun.

Laporan kajian Ranjau Sepanjang Jalan pada tahun 2024 tulisan Dr. Mohammed Abdul Khalid, Dr. Zouhair Mohd Rosli dan Siti Nur Fatimahtul Maryam Abdul Halim yang dibiayai sepenuhnya oleh UNICEF dan UNFPA, juga menyebut “sebahagian besar subsidi bersifat regresif dan cenderung menguntungkan mereka yang kaya berbanding yang miskin, terutamanya subsidi elektrik dan bahan bakar”.

Perangkap perbincangan 15 peratus dan 85 peratus

Apabila Perdana Menteri menyebut “warga 15 peratus teratas pengguna mahakaya” dalam konteks penyasaran subsidi, terjelma sejenis polemik sekitar perincian paras pemisah 15 peratus dan 85 peratus — Siapa kalangan yang layak dan tidak layak menerima subsidi itu?

Laporan banci terakhir pada tahun 2020 oleh Jabatan Perangkaan jelas melaporkan pengkelasan berdasarkan kedudukan relatif isi rumah dalam keseluruhan pendapatan isi rumah di Malaysia.

Ringkasnya, selepas disusun semua pendapatan isi rumah di Malaysia secara menaik, B40 merangkumi pendapatan isi rumah 40 peratus terendah, diikuti M40 yang merangkumi pendapatan isi rumah di kedudukan pertengahan (antara 41 hingga 80 peratus) dan T20 yang merangkum pendapatan isi rumah di kedudukan 20 peratus teratas (antara 81 hingga 100).

Melalu proses ini, boleh diamati paras pemisah untuk setiap pengkelasan, iaitu, B40 adalah isi rumah berpendapatan bawah RM4,360; M40 adalah isi rumah berpendapatan antara RM4,360 hingga RM9,619; dan T20 adalah isi rumah berpendapatan melebihi RM9,619.

Dengan prinsip kedudukan relatif ini juga kita boleh menyesuaikan fokus pengkelasan kepada kedudukan tertentu, contohnya B10 atau T5.

Apabila Perdana Menteri menyebut “15 peratus teratas” dan “85 peratus rakyat”, kebanyakan pemerhati, pendengar dan pembaca secara langsung membayangkan pengkelasan pendapatan isi rumah T15 berdasarkan kedudukan relatif sebagai paras pemisah.

Berulang-ulang kali kekhuatiran disuarakan bagi pihak kelompok atas M40 atau mungkin juga kelompok bawah T20. Masakan tidak, apabila kelompok ini melibatkan ramai penjawat awam daripada kumpulan pengurusan dan profesional, serta golongan yang berpendapatan setara di syarikat-syarikat swasta.

Apabila seorang ahli isi rumah berpendapatan menghampiri paras pemisah, pendapatan ahli kedua akan menolak klasifikasi pendapatan melangkaui ketetapan paras pemisah.

Ada juga isi rumah dengan jumlah pendapatan sekadar mencecah paras pemisah dan khalayak ini akan rentan terhimpit akibat kenaikan kos yang mendadak.

Perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat kelihatan turut terperangkap dengan persoalan “Siapa kebanyakan rakyat yang akan hilang kelayakan bantuan subsidi?” Perbahasan gagal keluar daripada
belenggu kebimbangan yang kumpulan 15 peratus teratas tidak semuanya ‘mahakaya’.

Masing-masing menagih penjelasan pihak kerajaan: Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Ekonomi, atau mungkin juga melalui Jabatan Perangkaan.

Seolah-olah tidak turut menjadi tanggungjawab ahli Parlimen lain sebagai ahli perbahasan, di mana kehadiran harian mereka di Dewan Rakyat dibayar elaun, untuk memberi cadangan atau pengisian dalam membina takrifan golongan ‘mahakaya’ dalam proses pembangunan dasar negara.

Siapa si mahakaya?

Tulisan ini bertujuan menyeru perbincangan untuk memisahkan takrifan T15 dan ‘mahakaya’ kerana meskipun kedua-duanya akan sentiasa berkait, wacana akan lebih membugar sekiranya tidak terperangkap dalam persoalan siapa T15 sementara perbincangan takrifan ‘mahakaya’ dibiarkan selesa bersembunyi dalam bayang-bayangnya.

Advertisements

Oleh kerana lokus utama perbincangan ‘T15-Mahakaya’ ini berpusat di Dewan Rakyat, maka moleklah jika saya gunakan kias ahli parlimen sebagai golongan berpendapatan tinggi.

Parlimen Hibrid
Apakah ahli-ahli Parlimen boleh dianggap sebagai golongan mahakaya? – Gambar hiasan

Contohnya, gaji seorang ahli Parlimen mencecah lima angka dan dilengkapkan dengan segala macam elaun (antara lain kehadiran sidang parlimen; kehadiran mesyuarat atau bengkel agensi kerajaan; elaun perjalanan; elaun pembayaran tol; elaun pemandu kereta).

Ahli Parlimen tidak dikelola oleh peraturan yang mengekang mereka melakukan ‘kerja luar’ seperti penjawat awam, dan saya percaya kelola serupa diamalkan di kebanyakan syarikat swasta melalui jabatan atau unit sumber manusia. Keadaan ini membolehkan sumber pendapatan berganda kepada ahli Parlimen.

Segolongan ahli Parlimen turut terpilih sebagai ahli Dewan Negeri. Keahlian sebagai ahli Dewan Negeri turut datang dengan gaji dan elaun mengikut ketetapan negeri masing-masing. Keadaan ini sekali lagi
membolehkan sumber pendapatan berganda kepada ahli Parlimen.

Sumber pendapatan seorang ahli Parlimen juga bertambah apabila diberi amanah untuk dilantik sebagai anggota pentadbiran kerajaan (Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri,
Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri).

Sumber pendapatan berganda membolehkan adanya lebihan selepas kos urusan sara hidup bulanan. Selepas satu sela masa, lebihan ini boleh digandakan melalui jalan pelaburan sekiranya cermat mengurus kewangan, harta dan berusaha meningkatkan kekayaan diri.

Meminjam hujah perbahasan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, “Maka yang mempunyai kapital akan menjadi lebih kaya”.

Keupayaan membina kekayaan ini adalah antara ciri golongan mahakaya dan pertimbangan perihal ini mustahak untuk diletakkan sebagai asas pentakrifan golongan ini.

Tinjauan ‘HSBC Affluent Investor Snapshot 2024’ mendapati pelabur-pelabur mewah (individu dengan aset boleh labur antara USD100,000 sehingga USD2 juta) di Malaysia mempunyai purata lima produk pelaburan dan kelas aset dalam portfolio pelaburan mereka yang mengatasi purata global.

Daripada jumlah itu, 47 peratus berhasrat untuk meningkatkan pelaburan dalam pasaran-pasaran lain dan kadar ini juga lebih tinggi berbanding 41 peratus purata global. Pelabur-pelabur ini juga dilaporkan cukup aktif dalam portfolio pelaburan mereka. Maksudnya, golongan mahakaya ini wujud di Malaysia.

Oleh sebab itu, pengkelasan berdasarkan pendapatan mungkin tidak lagi praktikal kerana jelas khalayak mahakaya ini memperoleh dan mengumpul kekayaan bukan sekadar daripada perjawatan mereka.

Ini mustahak supaya paras pemisah yang ditetapkan oleh kerajaan adalah berpandukan ukuran yang lebih tepat.

Penyasaran subsidi dan tanggungjawab si mahakaya

Tulisan ini tidaklah menyeru untuk memerangi golongan mahakaya. Keupayaan membina kekayaan pastinya ada manfaat dalam pembangunan negara bangsa dan masyarakat. Cuma dengan keupayaan
itu, mereka tidak seharusnya berterusan ditampung subsidi kerajaan.

Suka untuk ditekankan bahawa kenyataan ini turut terpakai kepada seluruh ahli isi rumah dan tanggungan mereka. Kekayaan golongan mahakaya bukan dinikmati seorang.

Seluruh tanggungannya, contohnya pasangan dan anak-anak seisi rumah sudah tentu menerima manfaat keupayaan dan mereka juga secara langsung tidak terkekang oleh kos sara hidup.

Perlu ada kesedaran dan rasa tanggungjawab dalam kalangan mahakaya bahawa tampungan subsidi hanya untuk khalayak yang memerlukan. Adalah munasabah untuk mereka membayar harga penuh
bilamana khalayak ini menikmati sumber berlebihan dan tidak terkesan dengan kos sara hidup.

Mengungkap perbahasan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari yang memerikan semangat belanjawan pimpinan Perdana Menteri, “perlaksanaan subsidi dan cukai sebagai usaha-usaha untuk memastikan yang kaya menjalankan fungsi untuk sama membantu kepada pembinaan negara bangsa dan masyarakat”.

Wacana darihal golongan mahakaya dan persekitarannya adalah wahana pengagihan kekayaan yang lebih adil dan saksama untuk bersama membina kemakmuran masyarakat.


Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Pemutusan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya. Penulis boleh dihubungi di [email protected]
Advertisements

Terkini

ATPC kembang pasaran perubatan global di Indonesia

AGAPE ATP Corporation (ATPC) mengembangkan pasaran perubatan global di Indonesia menerusi tiga memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan institusi...

Lagi Artikel Berkaitan