30.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, December 4, 2024

Balai Seni Negara anjur ‘Pameran Sunyi’ di Langkawi

Mesti Baca

BALAI Seni Negara akan menganjurkan pameran seni kontemporari bertajuk Pameran Sunyi dari 15 hingga 24 November ini di Hospital Lama Kuah, Langkawi.

Pada masa yang sama, turut diadakan Simposium Bakat Muda Sezaman 2024 yang dijadualkan pada 15 hingga 17 November di Hotel Grand Continental Langkawi. 

Menurut kenyataan Balai Seni Negara, pameran dan simposium itu adalah sebahagian daripada program sokongan di bawah Program Residensi Bakat Muda Sezaman 2024 yang bertujuan memberi ruang kepada perkembangan serta pendedahan lebih mendalam bakat-bakat muda dalam seni kontemporari.

Kenyataan itu berkata, Pameran Sunyi mengajak pengunjung meneroka tema “sunyi” melalui pelbagai perspektif dalam dunia seni visual, yang lahir daripada persoalan-persoalan sosial dan alam sekitar di Langkawi pasca-pandemik COVID-19. 

“Sunyi” juga menggambarkan ketenangan yang terhampar dalam keindahan alam semula jadi Langkawi, serta gaya hidup yang lebih damai, jauh dari hiruk-pikuk kehidupan kota besar. 

“Dalam konteks ini, “sunyi” dilihat dari sudut yang positif, memberikan ruang untuk refleksi serta penghargaan terhadap nilai-nilai kehidupan yang lebih luhur, seperti perayaan “Nyepi” di Bali, Indonesia yang disambut dalam suasana sunyi, penuh dengan makna spiritual yang mendalam,” kata kenyataan itu hari ini.

Advertisements

Balai Seni Negara berkata, pameran itu menggabungkan 11 artis muda yang aktif dalam menghasilkan seni instalasi site-specific. 

Antaranya Alvin Lau, Arikwibowo Amril, Azam Aris, Fauzan Fuad, Hannah Moujing, Khabir Roslan, Ng Yi Kee, Ryan Tang, Sim Hoi Ling, Teo Wey Yinn dan Ahmad Rajaie.

Sementara Simposium Bakat Muda Sezaman pula menghimpunkan pakar rujuk terdiri daripada kurator dan seniman seperti Azzad Diah Ahmad Zabidi, Wong Hoy Cheong, Moelyono, Dr. Tisna Sanjaya serta Muhammad Hazrin Abdul Malek @ Moktar yang juga Pengarah Balai Seni Negara Langkawi.

“Simposium ini bakal mengupas hala tuju Bakat Muda Sezaman serta kepentingan memahami konsep seni di lokasi dan seni komuniti. 

“Ia bertujuan menjadi pendorong kepada seniman muda dalam menghasilkan karya seni yang relevan dan seiring dengan tema yang ditetapkan, sebagai persediaan untuk Pertandingan Bakat Muda Sezaman yang akan datang,” kata kenyataan itu. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bahasa kebangsaan identiti negara yang tidak wajar dipersoal

Oleh PROF MADYA DR SALINAH JAAFAR BAHASA Melayu atau bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini.  Sewajarnyalah penggunaan...

Lagi Artikel Berkaitan