Tuesday, July 21, 2026

Balai Seni Negara perkasa seni seramik kontemporari

Mengetengahkan 39 karya seramik kontemporari yang merangkumi seni seramik artistik, pottery, tableware dan arca, hasil daripada Program Residensi Spatial Creative – Ceramic Zone.

Mesti Baca

BALAI Seni Negara (BSN) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi peneraju seni visual negara menerusi penganjuran Pameran Spatial Creative – Ceramic Zone dan Pameran Asal Tanah.

Pameran yang berlangsung sehingga 30 April di Galeri Aras 1 dan Galeri 2B, Balai Seni Negara, Kuala Lumpur itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Turut hadir Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad, pegawai kanan MOTAC, wakil jabatan dan agensi, seniman tanah air serta rakan strategik.

Menurut BSN, pameran tersebut mengetengahkan 39 karya seramik kontemporari yang merangkumi seni seramik artistik, pottery, tableware dan arca, hasil daripada Program Residensi Spatial Creative – Ceramic Zone (SCCZ) yang berlangsung pada 22 hingga 30 Oktober 2025.

“Program residensi itu menghimpunkan 10 seniman dari pelbagai latar belakang bagi meneroka potensi seni seramik kontemporari melalui pendekatan praktikal dan dialog kritikal,” kata BSN dalam kenyataan hari ini.

Antara seniman terlibat ialah Amy Nazira, Sabri Idrus, Saiful Razman, S. Amin Shahab, Bone Alfie, Shafiq Nordin, Amer01, Khairul Izzuddin, Kenji Chai dan Tan Kai Sheuan.

Residensi tersebut dilaksanakan di tiga lokasi utama pembuatan seramik iaitu BK Art Studio, Kuala Kangsar, Perak; Ilham Ceramic Studio, Langkawi, Kedah; serta Sari Chempaka Art Village, Karak, Pahang, dengan bimbingan tenaga pengajar berpengalaman termasuk Mohammad Radzi Ismail, Ibrahim Mohd Don @ Dun dan Muhammad Aimanuddin Kasman.

Selain itu, Pameran Asal Tanah turut dipersembahkan dengan menampilkan 83 karya seramik, termasuk karya daripada Koleksi Seni Visual Negara, seniman jemputan serta penglibatan Persatuan Seni Seramik Perak (PERSERA).

“Pameran ini turut merangkumi hasil kolaborasi program outreach After Monsoon Project bersama komuniti Pantai Pulau Kundur, Kelantan,” katanya.

BSN berkata, penganjuran pameran ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem seni seramik tempatan, malah berperanan mengangkat seni seramik sebagai cabang penting dalam landskap seni kontemporari negara.

Katanya, usaha tersebut selari dengan teras Daya Cipta Malaysia MADANI, selain membuka peluang ekonomi dan pekerjaan kepada penggiat seni tempatan.

Orang ramai dijemput mengunjungi pameran berkenaan sehingga 30 April 2026. Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi media sosial rasmi Balai Seni Negara atau laman sesawang www.artgallery.gov.my. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan