
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya.
Semoga kita semua diberikan kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat.
Pada hari yang mulia ini, khatib akan membicarakan khutbah yang bertajuk “Perjalanan Agung Membugar Iman”.
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Ketika Tahun ke-10 kenabian menyinggah, kesedihan menyelubungi Rasulullah SAW dengan penghinaan di Taif, tentangan Quraisy, pemergian bapa saudaranya Abu Talib, dan kematian isterinya yang tercinta, Saidatina Khadijah Radiallahuanha.
Pada saat itulah Allah SWT mentakdirkan perjalanan agung Israk dan Mikraj untuk Baginda SAW sebagai tasliyyah rabbaniyyah atau hiburan Rabbani dan pengubat kedukaan.
Peristiwa Israk ditegaskan Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud:
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang telah Kami berkati sekelilingnya agar kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat”.
Manakala Mikraj digambarkan dalam surah al-Najm ayat 13 hingga 18, firman-Nya:

“Dan sesungguhnya dia (Muhammad) telah melihat (Malaikat Jibril dalam rupanya yang asal) sekali lagi. (Iaitu) di Sidratulmuntaha. Yang di sisinya terletak syurga Jannatul-ma’wa. (Muhammad melihat Jibril dalam rupa bentuknya yang asal pada kali ini) ketika Sidratulmuntaha diliputi makhluk alam ghaib yang tidak terhingga.
“Penglihatan (Muhammad) tidak beralih daripada menyaksikan dengan tepat (pemandangan indah di situ yang diizinkan untuk dilihat) dan tidak pula melampaui batas. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (bukti luasnya pemerintahan dan kekuasaan Tuhannya).”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah SWT,
Hari ini, umat berhadapan dengan kerosakan moral yang semakin membimbangkan, keruntuhan sistem kekeluargaan, tekanan hidup yang menghimpit, serta kemerosotan penghayatan terhadap nilai-nilai beragama.
Persoalannya, mengapa dan bagaimana sebahagian umat sanggup melepaskan tanggungjawab beragama dan memandang ringan perintah Allah SWT?
Jawapannya telah lama diperingatkan melalui peristiwa Israk dan Mikraj. Dalam perjalanan tersebut, Rasulullah SAW diperlihatkan dengan pelbagai gambaran azab sebagai amaran terhadap kepincangan dalam menunaikan hak kepada Allah SWT dan sesama manusia.
Ada golongan yang kepala mereka dipecahkan berulang kali kerana memandang remeh kewajipan solat, ada yang dipaksa memakan pokok berduri lagi pahit kerana enggan menunaikan zakat, ada yang memilih daging busuk berbanding makanan yang baik kerana terjebak dalam perbuatan zina, dan ada yang lemas dalam sungai darah akibat menghalalkan riba.
Semua gambaran ini bukan untuk menakut-nakutkan, tetapi sebagai peringatan tegas agar kita semua segera menghidupkan kembali ketaatan kepada Allah SWT dan menunaikan hak-hak sesama manusia sebelum kita sendiri diazab akibat kelalaian tersebut.
Hadirin Jumaat yang dimuliakan Allah SWT,
Hadiah paling besar daripada Mikraj sudah tentu adalah ibadah solat sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam sebuah hadis yang panjang.
Solat diumpamakan oleh para ulama’ sebagai “mikraj orang beriman” iaitu tempat roh kita secara maknawi menghadap Allah SWTsetiap hari.
Solat bukan hanya rutin, tetapi pertemuan hati dengan Tuhan yang memberi ketenangan, menguatkan semangat dan menyucikan jiwa dalam dunia yang penuh tekanan.
Keseluruhan peristiwa ini juga mengajar kita tentang konsep ta‘abbud, iaitu ketundukan dan kepatuhan mutlak seorang hamba kepada perintah Allah SWT walaupun tidak mampu dicapai oleh logik akal semata-mata.
Sebagaimana yang direkodkan dalam kitab Sirah karangan Ibnu Hisham bahawa Saidina Abu Bakar Radiallahuanhu membenarkan dan mempercayai setiap apa yang Baginda SAW ceritakan.
Hadirin Jumaat yang dimuliakan Allah SWT,
Sambutlah Israk Mikraj pada kali ini dengan satu keyakinan bahawa langit yang terbuka untuk Nabi SAW pada malam Israk Mikraj tidak akan pernah tertutup untuk umatnya.
Setiap jiwa yang kembali kepada Allah SWT dengan doa, taubat dan solat akan sentiasa berada di bawah naungan rahmat-Nya.
Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sedekat-dekat hamba kepada Tuhannya, adalah semasa hamba itu sedang sujud (menyembah Allah SWT), oleh itu perbanyakkanlah doa dalam sujud.” — (Riwayat Muslim).
Maka hayatilah bahawa Israk Mikraj bukan kisah lampau yang hanya diceritakan setahun sekali di masjid dan surau.
Ia adalah kompas petunjuk jalan kerohanian yang Allah SWT hadiahkan kepada umat ini. Kompas untuk mencari kekuatan, ketenangan dan makna hidup.
Jika Nabi SAW kembali dari Mikraj sebagai insan yang lebih teguh, maka kita juga mampu kembali setiap kali selepas solat dengan jiwa yang lebih kuat, hati yang lebih hidup, dan langkah yang lebih yakin menuju Allah SWT.
Para tetamu Allah SWT yang dirahmati,
Sebelum mengakhiri khutbah kali ini, marilah kita bersama-sama mengambil pengajaran untuk dijadikan pedoman dalam kehidupan seharian:
1. Kita hendaklah menyedari bahawa peristiwa Israk Mikraj mengingatkan kita tentang kepentingan memperbaharui dan menjaga hubungan dengan Allah SWT melalui solat, taubat, dan doa, serta menekankan keprihatinan kita terhadap hubungan sesama manusia.
2. Kita hendaklah membina suasana yang berteraskan akhlak, kasih sayang dan keteladanan. Keluarga yang menjaga solat dan memupuk nilai-nilai iman adalah benteng pertama yang menyelamatkan generasi daripada kegelapan moral dan serangan budaya yang merosakkan.
3. Peristiwa Israk Mikraj menuntut kita membangunkan masyarakat yang berpegang teguh kepada amanah, integriti, dan kepimpinan yang bertanggungjawab. Pemimpin yang yakin kepada Allah SWT, berlaku adil, dan menunaikan amanah adalah cerminan teladan para Nabi yang ditemui Rasulullah SAW sepanjang perjalanan Mikraj.

“Dan (ingatlah) ketika Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad), “Sesungguhnya Tuhan kamu meliputi seluruh manusia (dengan ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya).” Dan kami tidak menjadikan (pada malam Mikraj) mimpi yang telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai ujian bagi manusia dan (demikian juga Kami jadikan) pohon kayu yang terkutuk (Zakum) dalam al-Quran. Dan Kami menakut-nakutkan mereka (dengan berbagai-bagai amaran), tetapi yang demikian itu hanyalah menambah besarkan kederhakaan mereka.”

Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor, 16 Januari 2026.

