UMNO perlu berani berdepan realiti baharu politik tanah air dan tidak lagi bergantung kepada jumlah keahlian semata-mata sebagai ukuran kekuatan parti, tegas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Berucap membentangkan penyata tahunan 2024/2025 pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 hari ini, beliau berkata, pengalaman pilihan raya sebelum ini membuktikan bahawa pertambahan keahlian tidak semestinya diterjemahkan kepada kemenangan di peti undi.
Menurut beliau, Pilihan Raya Negeri Sabah menjadi peringatan besar kepada UMNO apabila parti itu hanya memperoleh kira-kira 144,000 undi walaupun memiliki lebih 622,000 ahli berdaftar.
“Pengajarannya, ahli bukan semestinya pengundi dan pengundi tidak semestinya kekal bersama kita.
“Adakah pertambahan 46,655 ahli pada tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhannya 3.525juta, sudah cukup untuk menjamin kemenangan? Statistik di banyak negeri menunjukkan jurang yang ketara antara jumlah ahli dan jumlah undi yang diterima,” katanya di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, fenomena penghijrahan politik yang berlaku di Sabah melalui beberapa gelombang sejak 2016 telah menghakis kekuatan UMNO dan realiti sama turut berlaku di negeri-negeri lain dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, (PRU-13), PRU-14 dan PRU-15.
Sehubungan itu, beliau menegaskan UMNO tidak boleh terus berada dalam penafian menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka, Johor dan seterusnya PRU-16.
“Kesetiaan hari ini tidak boleh lagi dianggap automatik. Apabila nafsu serakah mengatasi prinsip, apabila kepentingan peribadi mengatasi amanah perjuangan, maka kita akan kehilangan nusrah Allah, walau seramai mana pun kita di atas kertas,” katanya.
Asyraf Wajdi turut menggesa ahli dan perwakilan menggunakan Perhimpunan Agung UMNO sebagai medan muhasabah secara matang, bukan ruang untuk emosi tidak terkawal atau sentimen sempit yang boleh meretakkan kesatuan parti.
Beliau menegaskan kekuatan utama UMNO ketika melalui badai politik ialah keupayaan parti untuk kekal bersatu di bawah kepimpinan Presiden dan institusi parti.
Pada masa sama, beliau menolak dakwaan pihak tertentu kononnya Islam dan orang Melayu terancam di bawah Kerajaan Perpaduan, sebaliknya menegaskan menteri-menteri UMNO kekal konsisten mempertahankan asas perjuangan Islam, Melayu, Bumiputera dan institusi Raja-Raja Melayu.
Beliau turut menyenaraikan pencapaian kepimpinan UMNO di peringkat negeri dan Persekutuan termasuk peningkatan pelaburan di Johor dan Melaka, pengurusan kewangan berhemah di Perak dan Pahang, pengukuhan kedaulatan negara, agenda pendidikan tinggi, pertahanan serta pemerkasaan hak Melayu bandar.
Asyraf Wajdi berkata, UMNO juga memainkan peranan penting sebagai parti teras dalam Kerajaan Perpaduan melalui pelaksanaan dasar strategik seperti TVET Negara, TVET Huffaz, Dasar Tahfiz Negara, agenda halal nasional serta pembangunan luar bandar.
“Dalam kebingitan politik hari ini, janganlah kita menjadi penari dalam irama yang dimainkan oleh orang lain. Biarlah mereka memukul gendang mereka sendiri kerana UMNO punya lagu dan nada yang jauh lebih besar maknanya,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh perwakilan agar berbahas dengan beradab, bersatu pada keputusan dan berdisiplin dalam tindakan demi memastikan UMNO kekal relevan sebagai perisai rakyat dan wadah perjuangan agama, bangsa dan negara. — Edisi 9

