Sunday, July 19, 2026

Balai Seni Negara anjur program ‘Ipoh Suka Langka’

Sempena pembukaan cawangan baharu di bangunan ikonik Pejabat Pos Lama Ipoh, yang akan dijadikan galeri seni kontemporari bagi memperkayakan landskap kreatif negeri Perak.

Mesti Baca

BALAI Seni Negara (BSN) terus memperkukuh peranan sebagai institusi seni visual negara apabila menganjurkan program Ipoh Suka Langka pada 19 dan 20 September ini, sebagai pembuka tirai kepada penubuhan cawangannya di bandar raya Ipoh, Perak.

Cawangan baharu tersebut dijangka beroperasi tahun depan di bangunan ikonik Pejabat Pos Lama Ipoh, yang akan dijadikan galeri seni kontemporari bagi memperkayakan landskap kreatif negeri Perak.

Program selama dua hari itu bakal berlangsung di Balai Seni Negara Cawangan Ipoh dan sekitar lokasi utama bandar raya termasuk Dataran Dato’ Sagor, Townhall, Masjid Sultan Idris Shah II serta Pekan Ipoh.

Pelbagai pengisian menarik disusun melibatkan seni visual, budaya dan komuniti dengan suasana inklusif serta meriah. Antara yang menanti pengunjung ialah pertandingan Ipoh Plein Air, Mobilegraphy – Jejak Seni dan Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, selain aktiviti komuniti seperti Skate Jam dan Neon Art Walk.

Bagi penggemar bengkel interaktif, mereka boleh menyertai AR Colouring, Tayangan Animasi, Doodle Workshop serta Cupcake Workshop. Tidak ketinggalan persembahan pentas oleh bakat tempatan, sesi Bicara Rohani bersama Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre, dan Rapat Kurator bersama penggiat seni.

Acara kemuncak pastinya pertunjukan Projection Mapping di bangunan cawangan baharu BSN yang akan berlangsung setiap malam sepanjang program, menggabungkan teknologi digital dengan ekspresi kreatif untuk pengalaman imersif para pengunjung.

Perasmian program dijadualkan pada 19 September (Jumaat), jam 9.00 malam, disertai pelancaran inisiatif “Digitalisasi Ipoh Suka Langka” serta penyampaian hadiah bagi Kostum Neon Paling Kreatif.

BSN dalam kenyataannya berkata, pelbagai pengisian yang dirangka bukan sahaja menjadi medium penyatuan masyarakat, malah menandakan permulaan penting bagi Balai Seni Negara Cawangan Ipoh sebagai mercu seni baharu di negeri Perak.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan acara tersebut. Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui media sosial rasmi Balai Seni Negara atau laman sesawang www.artgallery.gov.my. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan